Tumpuan :
Sukan

Empat pasukan sahkan penyertaan dalam Pestabola Merdeka 2024

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), mengumumkan penyertaab empat pasukan bola sepak dalam pertandingan Pestabola Merdeka 2024 Edisi Ke-43 yang akan berlangsung pada 2 hingga 10 September 2024 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Selain skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon, tiga pasukan lain yang telah mengesahkan penyertaan ialah juara bertahan, Tajikistan yang kini berada di ranking ke-102 dunia, Lebanon (117) dan Filipina (147).

“Empat pasukan akan diundi bagi menentukan lawan masing-masing pada perlawanan pertama iaitu Separuh Akhir 1 dan 2, disusuli perlawanan kedua iaitu Final yang menemukan pemenang Separuh Akhir 1 dan 2 serta Penentuan Tempat Ketiga di antara dua pasukan yang kalah pada Separuh Akhir 1 dan 2.

“Ini merupakan kali pertama Pestabola Merdeka berjaya dianjurkan secara berturut-turut selepas tempoh 16 tahun, iaitu kali terakhir diadakan berturut-turut pada 2006, 2007 dan 2008, sebelum ia diadakan pada 2013 dan kembali selepas 10 tahun penganjurannya pada edisi tahun lalu, 2023,” jelas Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut mengharapkan sokongan dari penyokong Harimau Malaya dalam memeriahkan lagi pertandingan itu memandangkan ia berlangsung dalam Bulan Kebangsaan iaitu selepas Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan menjelang Hari Malaysia pada 16 September.

Tambah Noor Azman, tarik ndian pasukan akan dimaklumkan kemudian.

“Tarikh majlis undian Pestabola Merdeka 2024 Edisi Ke-43 akan dimaklumkan kemudian bagi menentukan pasukan mana yang bakal bertembung pada Separuh Akhir, selain tarikh bagi Hari Perlawanan 1 untuk Separuh Akhir dan Hari Perlawanan 2 bagi Final dan Penentuan Tempat Ketiga turut akan ditetapkan nanti,” katanya

Pada Edisi Ke-42 tahun lalu, skuad Harimau Malaya muncul naib juara selepas tewas 0-2 kepada Tajikistan pada perlawanan akhir.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini