Tumpuan :
Sukan

Emas Rafiq lengkapkan kejayaan memukau Malaysia di Kejuaraan Asia 

Oleh: Saiyed Ismail Saiyed Hussin

BANGKOK: Jaguh boling negara, Mohd Rafiq Ismail menghadiahkan emas kelapan Malaysia di Kejuaraan Asia apabila menjuarai acara Masters Lelaki.

Atlet berusia 26 tahun itu berjaya menampilkan permainan mantap ketika aksi mendebarkan di penghujung perlawanan akhir penentuan juara Stepladder berdepan Park Dong Hyuk.

Rafiq bangkit dari ketinggalan pada permainan pertama sebelum menyempurnakan enam balingan terakhirnya di permainan kedua di Blu-O Rhythm & Bowl, Bangkok sekaligus mengumpul 466 berbalas 435 milik wakil Korea Selatan itu.

Rakan sepasukan, Mohd Hafiz Zainuddin pula menyumbang pingat gangsa berikutan tewas 207 berbalas 255 kepada Dong Hyuk di separuh akhir.

Kejayaan dalam acara terakhir itu menyaksikan Rafiq mengumpul empat pingat emas dan satu perak di edisi ke-27 kali ini dan membantu skuad lelaki serta Malaysia muncul juara keseluruhan menerusi 8 emas, lima perak dan empat gangsa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini