![](https://media.buletintv3.my/2024/02/EpoLpES8-PP-CMS_DK-2-1024x538.jpg)
KUALA LUMPUR: Kejayaan pelumba muda berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri merangkul pingat emas acara keirin wanita di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024 di New Delhi, India semalam seakan memberikan penunjuk kepada landskap sukan berbasikal trek negara bahawa pelumba berusia 20 tahun itu mempunyai masa depan cerah pada masa hadapan.
Keyakinan itu dilontarkan jaguh berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang yang turut menyifatkan saiz tubuh badan bukanlah penunjuk terbesar dalam menentukan bakat seseorang terutamanya apabila Nurul Izzah Izzati hanya memiliki ketinggian 1.52 meter.
“Kejayaan merangkul pingat emas di ACC di New Delhi, India semalam adalah satu berita gembira buat skuad lumba basikal trek negara terutamanya Nurul Izzah (Izzati) @izzahmdasri sendiri yang merupakan kemenangan juara Asia yang pertama dalam karier beliau.
“ACC New Delhi merupakan tempat dan waktu terbaik kepada pelumba-pelumba negara untuk menonjolkan potensi sebenar mereka termasuk untuk merangkul kejuaraan Asia yang sentiasa menjadi idaman oleh semua pelumba di rantau Asia. Nurul Izzah (Izzati) menunjukkan semangat perjuangan yang tinggi dan beliau mempamerkan kemahuan yang mengatasi segala-galanya,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.
Anak kelahiran Kedah itu menamatkan kemarau 12 tahun tanpa emas acara keirin wanita di Kejohanan ACC apabila muncul juara edisi 2024 yang berlangsung di Velodrom Indira Gandhi mengatasi Tong Mengqi dari China yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.
Dalam pada itu, Azizulhasni memuji semangat juang Anis Amira Rosidi yang tetap menampilkan kayuhan bertenaga hingga ke garisan penamat walaupun terpaksa berlumba dalam kecederaan untuk meraih pingat gangsa dalam kategori sama.
“(Manakala) buat dua pelumba adik-beradik Muhammad Shah Firdaus Sahrom @shahfirdaus95 dan Muhammad Ridhwan Shahrom @muhammad_ridwan01 pula, syabas atas usaha yang diberikan semalam. Diharap anda berdua tidak akan mengaku kalah dan akan terus berusaha dengan lebih gigih untuk masa hadapan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.