KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, E Elavarasan menyerahkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia berkaitan keputusan tidak menghantar pasukan ke Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China, tahun ini.
Penolong jurulatih skuad Harimau Malaya itu menjelaskan bahawa FAM akan memberikan penjelasan lanjut mengenai perkara itu dalam sidang media yang dijangka diadakan pada minggu depan.
Dia berkata, fokus utamanya ketika ini adalah terhadap kem latihan pusat skuad B-23 yang bermula Selasa lalu hingga Ahad ini sebagai persiapan awal menghadapi beberapa kejohanan tahun ini termasuk Sukan SEA, kelayakan Piala Asia B-23 dan Piala AFF.
“Kita ada satu sidang media minggu depan, masa itu mungkin pihak FAM boleh menerangkan lebih dalam lagi. Ketika ini kami fokus kepada kem latihan.
“Jadi, kena tunggu FAM (jelaskan), dalam minggu depan kita akan tahu mana arah tuju kita,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad B-23, semalam.
Kelmarin, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan badan induk itu tidak akan menghantar skuad bola sepak ke Sukan Asia 2022 berikutan tempoh temasya itu berlangsung hampir dengan kelayakan Piala Asia B-23.
Mengulas mengenai kem latihan pusat kali ini, Elavarasan menjelaskan ia bertujuan untuk memberi peluang kepada pemain baharu merasai pengalaman dan menunjukkan potensi mereka bersama skuad kebangsaan.
Katanya, usaha itu juga dilihat mampu membentuk kumpulan pemain lebih besar dalam memastikan banyak pilihan dapat dilakukan untuk menghadapi kejohanan pada tahun ini.
“Kalau mereka berupaya untuk mewakili negara, kita akan bagi peluang sebab di Eropah pun pemain yang berusia 19 tahun sudah main Liga Profesional,” katanya. – BERITA HARIAN