![](https://media.buletintv3.my/2025/02/mdL68F0p-BULETIN-TV3-AD-12.jpg)
NEW ORLEANS: Philadelphia Eagles menewaskan Kansas City Chiefs 40-22 dalam perlawanan akhir Super Bowl ke-59, sekali gus menggagalkan usaha Chiefs untuk mencipta sejarah sebagai pasukan pertama dengan tiga kejuaraan berturut-turut.
Eagles mempamerkan pertahanan mantap, menyekat kreativiti quaterback Chiefs, Patrick Mahomes, yang hanya melengkapkan enam daripada 14 hantaran.
Sebaliknya, quarterback Eagles, Jalen Hurts, beraksi cemerlang dengan dua hantaran sentuhan dan satu larian ke zon gol, membalas dendam kekalahan pasukannya kepada Chiefs ketika Super Bowl edisi ke-57 pada 2023.
Saquon Barkley turut mencipta sejarah apabila mengumpul 31 larian pada separuh masa pertama, menjadikannya pemain dengan jumlah larian terbanyak dalam gabungan musim biasa dan playoff dalam sejarah NFL.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, serta bintang pop Taylor Swift turut menyaksikan perlawanan itu secara langsung, dengan Trump menjadi presiden pertama yang menghadiri Super Bowl ketika masih berkhidmat.
Super Bowl kali ini berlangsung penuh meriah di New Orleans buat kali ke-11 dalam sejarah, dengan kehadiran figura ternama seperti Lionel Messi, Jay-Z, dan Paul McCartney di stadium.
Acara ituturut diserikan dengan persembahan bertenaga daripada pemenang Anugerah Grammy 2024, Kendrick Lamar dan SZA.
Dengan kejuaraan kedua mereka selepas 2018, Eagles membuktikan mereka adalah kuasa baharu NFL, sementara Chiefs terpaksa akur gagal mencipta sejarah sebagai juara tiga kali berturut-turut.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.