Oleh: Al Shaiful Nazib Talib
KUALA LUMPUR: Harapan untuk menyaksikan pasukan negara, Xipto Esports mara ke grand final bagi judul permainan Valorant pada kejohanan Predator League Asia Pasifik 2025 tidak kesampaian.
Peringkat separuh akhir menentang wakil Filipina, ZOL Esports, Xipto Esports terpaksa akur dengan kekalahan 0-2.
Dibarisi Amirul Zaqwan (Fixy), Sirajul Azrie (Riza), Lionel Tay Zi (Iceyyy), Mark Lester (markL)dan Henri Forichon (Flaring), kejayaan melangkah ke peringkat separuh akhir memang satu pencapaian mengujakan buat pasukan Xipto Esports.
Namun, berdepan pasukan yang lebih berpengalaman, ZOL Esports, memang cabaran getir menanti pasukan Xipto Esports.
Dan seperti dijangka, perkara yang tidak diingini itu berlaku pada ‘game’ pertama apabila dominasi penuh disajikan ZOL Esports yang mengakhiri permainan dengan keputusan 13 kemenangan tanpa balas.
Memasuki perlawanan kedua, kebangkitan cuba dilakukan Xipto Esports yang berjaya memenangi beberapa pertarungan awal.
Dan ia berlanjutan sehingga kedudukan 9-9 pada satu ketika selepas kedua-dua pasukan saling bertukar mata sebelum penguasaan kembali terarah kepada ZOL Esports.
Xipto Esports akhirnya akur, tewas dengan keputusan 9-13, terpaksa melepaskan slot grand final kepada ZOL Esports dengan kemenangan 2-0.
“Kejayaan kami menduduki tempat empat terbaik, ia sasaran yang terbaik kami tetapi kami mahukan lebih lagi cuma ia nyata bukan harinya, maksud saya, kami masih ada perjalanan yang panjang dan kami ambil ini sebagai satu pengalaman, terus meningkatkan prestasi sebagai sebuah pasukan, satu kekalahan bukan bermakna kami sudah berakhir, hanya perlu terus melangkah ke depan,” kata Riza selepas perlawanan.
Cabaran pasukan Malaysia pada saingan Predator League ini masih belum berakhir dengan pasukan Myth Avenue Gaming (MAG) akan turun beraksi di peringkat separuh akhir esok bagi judul permainan DOTA 2, menentang juga pasukan dari Filipina, Ivory.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.