Oleh: Al Shaiful Nazib Talib
KUALA LUMPUR: Wakil Turkiye, ULFHEDNAR melengkapkan senarai 16 pasukan yang akan berentap pada Kejohanan Dunia Mobile Legends Bang Bang M6 bermula 28 November ini.
Ia selepas kejayaan ULFHEDNAR mengungguli saingan peringkat penentuan ‘Wildcard’ dengan menundukkan pasukan yang berpengkalan di Rusia, Insilio dengan kemenangan 3-0.
ULFHEDNAR yang dibarisi sepenuhnya pemain dari Turkiye, Emre Sari (Sunshine), Furkan Akbulut (APEX47), Ahmet Taha Batir (Rosa), Sidar Mentese (Tienzy) dan Baris Ali Cakir (Alien) jelas berada dalam kelas tersendiri pada permainan yang menggunakan format ‘best of five’ itu.
‘Game’ pertama, aksi sengit berlangsung antara kedua-dua pasukan, namun aksi kemas Sunshine dengan hero ‘Harith’ banyak memberi kelebihan sebelum ULFHEDNAR menutup aksi selepas bertarung hampir 20 minit.
Insilio cuba bangkit pada perlawanan kedua, namun aksi baik Tienzy dengam hero ‘Joy’ menyaksikan usaha pasukan dari Rusia itu dapat disekat sebelum ULFHEDNAR mengesahkan mata kedua selepas mengakhiri aksi dalam tempoh 19 minit.
Misi Insilio untuk menyekat kemenangan ULFHEDNAR pada ‘game’ ketiga juga tidak menjadi, kali ini gandingan Tienzy dengan hero ‘Ling’ dan Sunshine yang menggunakan hero ‘Harith’ cemerlang mendominasi perlawanan, mengesahkan kemenangan 3-0 selepas menapatkan aksi dalam tempoh 14 minit.
Kejayaan ULFHEDNAR menundukkan Insilio turut mengesahkan tempat pasukan dari Turkiye itu dalam saingan utama Kejohanan Dunia MLBB M6 dengan pasukan yang diketuai Michael Cosgun (MobaZane), iaitu BloodThirstyKings (BTK) akan menjadi lawan mereka pada pusingan pertama ‘Swiss Stage’ pada 28 November nanti.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.