comscore
Tumpuan :
Sukan

E-Sukan: Tiga wakil negara sahkan tempat di ‘playoff’

Oleh: Al Shaiful Nazib Talib

PETALING JAYA: Black Shrew Esports mengetuai cabaran tiga pasukan dari Malaysia mengesahkan tempat ke peringkat ‘playoff’ Kejohanan Honor Of Kings (KC 2024) yang berlangsung di Jakarta, Indonesia.

Black Shrew yang dibarisi Lee Han Siang (Siang), Chan Tat Yann (MusangKing), Lim Chee Hong (Zhihong), Ryan Na Jie Rong (JR), dan Low Li Zhe (Zhe) tampil dengan permainan cukup kemas ketika menumbangkan pasukan dari Myanmar, Impunity menerusi kemenangan 2-0.

Walaupun cuba dicabar Impunity pada ‘game’ pertama yang diheret sehingga 21 minit, JR yang menggunakan hero ‘Lady Sun’ menjadi watak penting pasukan, memastikan kemenangan perlawanan pertama memihak Black Shrew.

Perlawanan kedua, dominasi terus disajikan Black Shrew terutamanya menerusi MusangKing yang menggunakan hero ‘Augran’ untuk menutup perlawanan dalam tempoh 16 minit, merakam kemenangan 2-0.

Kejayaan itu juga menyaksikan Black Shrew mengunci tempat ke peringkat playoff selaku salah satu dari dua pasukan yang mara dari kumpulan D.

Mengikut jejak sama, satu lagi pasukan negara, Team Secret yang beraksi dalam kumpulan C.

Team Secret pula membariskan Cha Jia Xuan (Xuann), Hoo Wen Feng (TianX), Chong Kean Loong (Shisan), Ong Ee Son (Son) dan Ang Aik Yeong (YuHan) ketika turun aksi kedua menentang wakil Filipina, BOOM Esports.

Son yang menggunakan hero ‘Meng Ya’ jelas beraksi cukup baik menerusi 7 ‘kills’ yang diperolehnya untuk Team Secret menutup perlawanan pertama dalam tempoh 13 minit.

Dan ‘game’ kedua, giliran TianX pula menjadi watak penting pasukan, membantu mendapatkan ‘Ace’ sebelum memusnahkan kristal pasukan BOOM untuk mengesahkan kemenangan 2-0 memihak Team Secret.

Memasuki hari kelima saingan hari ini, pasukan Nova Esports melengkapkan senarai tiga pasukan Malaysia mara ke saingan playoff.

Nova yang turun menentang Team Vitality dari Perancis jelas tidak berdepan masalah untuk merakam kemenangan 2-0.

Dibarisi Nicholas Ng Kai Shuan (Xuan), Wang Jin Wen (Wendy), Ong Jun Yang (Muci), Yu Lim Chen (Cy) dan Wai Min Jing (Weipit), aksi yang disajikan Nova jelas sukar untuk disekat Vitality.

Tempoh 13 minit diambil Nova pada ‘game’ pertama dengan Wendy yang menggunakan hero ‘Mai Shiranui’ menjadi watak penting buat pasukan.

Dan perlawanan kedua, aksi kemas disajikan Muci dengan hero ‘Arli’, membantu Nova menutup aksi dalam tempoh 13 minit sahaja.

Kemenangan yang diraih ketiga-tiga pasukan negara ini menyaksikan mereka gah mengunci slot ke saingan ‘playoff’ walaupun masing-masing masih berbaki satu perlawanan lagi untuk aksi peringkat kumpulan.

Kejohanan Honor Of Kings (KC 2024) ini menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah $1 juta.

Loading...
Terkini