Oleh: Al Shaiful Nazib Talib
KUALA LUMPUR: Cabaran wakil negara, Team Vamos untuk layak ke saingan ‘playoff’ Kejohanan Dunia Mobile Legends Bang Bang (MLBB M6) masih berada dalam landasan selepas kejayaan memenangi pusingan keempat ‘Swiss Stage’.
Berdepan wakil Turkiye, S2G Esports, kemenangan bersih dirakam Team Vamos menerusi keputusan 2-0 dalam saingan yang kembali dengan format ‘best of 3’.
Selepas mengalami dua kekalahan, perlawanan pusingan keempat ini merupakan peluang hidup mati Team Vamos dengan hanya kemenangan dapat menghidupkan peluang ke ‘playoff’.
Team Vamos dibarisi Muhd Nazhan Mohd Nor (Chibi), selain Mohd Zul Hisham Mohd Nor (Xorn), Rizky Agustian (Warlord), Aeliff Adam Md Ariff (Smooth) dan Kenneth Sablande Barro (Nets) jelas tidak mahu melepaskan peluang ke pusingan kelima, tampil dengan aksi kemas sejak dari awal lagi.
‘Game’ pertama, persembahan cukup seimbang disajikan Team Vamos dengan Xorn yang menggunakan hero ‘Jawhead’ menjadi individu penting untuk mengawal permainan.
Nets dengan hero ‘Karrie’ selain Chibi yang mengawal hero ‘Hayabusa’ berjaya mendapatkan ‘kills’ sebelum mereka menutup aksi dengan kemenangan selepas bertarung hampir 15 minit.
Memasuki perlawanan kedua, pemilihan hero lebih kurang sama dengan aksi pertama, cuma kali ini, dominasi ditampilkan Chibi yang kekal dengan hero ‘Hayabusa’.
8 ‘kills’ berjaya dicatat Chibi membantu Team Vamos mengunci kemenangan kedua selepas 15 minit, mengesahkan tempat di pusingan kelima ‘Swiss Stage’.
“Aktiviti yang kami lakukan adalah sebahagian daripada aktiviti mingguan kami yang boleh mengurangkan tekanan, walaupun kami ada jadual yang ketat, dan juga tekanan kerana ini peluang terakhir kami, kami hanya fokus kepada apa yang perlu dilakukan hari ini”, kata jurulatih, Khairul Azman Moh Sharif (Pabz).
Mara ke pusingan kelima, Team Vamos kini menyertai tiga pasukan lain, iaitu Twisted Minds, Blood Thirsty King dan CFU Gaming sambil menanti dua lagi pemenang ‘bracket’ bawah 1-2 sebelum undian dilakukan malam nanti.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.