comscore
Tumpuan :
Sukan

E-Sukan: Team Vamos menang lagi, tidak bimbang rekod bersih kemenangan terlerai

Team Vamos

Oleh: Al Shaiful

SHAH ALAM:Team Vamos merekodkan kemenangan ketiga berturut-turut bagi kempen Liga Professional Mobile Legends Bang Bang, (MPL Malaysia) musim ke 14 ini selepas mengatasi Team HAQ (THQ).

Bagaimanapun, rekod bersih kemenangan Vamos turut terlerai selepas perlawanan berakhir dengan keputusan 2-1.

Segalanya agak serba tidak menjadi pada perlawanan pertama dengan aksi kemas disajikan THQ terutamanya menerusi Hadiazwan Rosli (Box) yang menggunakan hero ‘Hayabusa’.

Walaupun Vamos bekerja keras untuk bertahan, namun, THQ jelas tidak mahu melepaskan peluang, menutup aksi selepas bertarung selama 14 minit untuk mengutip mata pertama.

‘Game’ kedua, perubahan dilakukan Vamos, membawa masuk Muhd Irfan Aujang (Sepat) menggantikan Aeliff Adam Md Ariff (Smooth) di bahagian ‘EXP’.

Dan nyata percaturan itu menjadi apabila Vamos dapat bermain dengan lebih kemas terutamanya menerusi dua ‘damage dealer’, Muhd Nazhan Mohd Nor (Chibi) dan Kenneth Sablande Barro (Nets) yang menggunakan hero ‘Roger’ dan ‘Moskov’.

Kelebihan yang diraih Vamos ketika mendapatkan ‘lord’ menyaksikan Box berdepan kesukaran untuk bertahan secara bersendirian sebelum kristal THQ dimusnahkan dengan keputusan semasa terikat 1-1.

Chibi

Dan aksi penentuan, Chibi yang menggunakan hero Hayabusa jelas sukar untuk dibendung, mencatat sehingga 10 ‘kills’ dengan Vamos hanya mengambil masa 11 minit untuk menutup perlawanan dan mencatat kemenangan 2-1.

“Bila kita kalah tu bermakna memang kita ada buat kesilapan, terlepasnya satu perlawanan itu mungkin terletak kepada keputusan yang kita buat, dan juga jurulatih, pemilihan hero dan juga sebagainya, jadi benda inilah yang kita akan perbaiki untuk perlawanan masa akan datang.

“Semestinya kita akan terus kekal konsisten, kita akan betulkan disiplin dari awal permainan hingga penghujung permainan,dan kita akan sentiasa perbaiki ‘hero pool’ kita, yang paling penting, kita akan pelbagaikan cara permainan kita, itu yang akan Vamos buat”, kata jurulatih Vamos, Khairul Azman Mohd Sharif (Pabz).

Perlawanan seterusnya minggu depan, Team Vamos dijadualkan bertemu dengan juara tiga kali, TODAK.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini