Tumpuan :
Sukan

E-Sukan: SRG, Todak berentap rebut tiket M6

Oleh: Al Shaiful Nazib Talib

KUALA LUMPUR: Selangor Red Giants (SRG) dan Todak bakal membuat perhitungan bagi menentukan pasukan mana yang akan mara ke Grand Final Liga Profesional Mobile Legends Bang Bang (MPL Malaysia) apabila dijadualkan bertemu di peringkat akhir ‘lower bracket’.

SRG yang tewas kepada Todak di peringkat separuh akhir semalam terpaksa bermain menerusi laluan ‘lower bracket’ menentang Red Esports bermula di peringkat separuh akhir.

Aksi sengit berlangsung pada perlawanan pertama dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.

Namun, aksi kemas Muhd Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman (Sekys) yang menggunakan hero ‘Suyou’ menyaksikan SRG berjaya memenangi ‘game’ pertama dalam tempoh 19 minit.

Memasuki perlawanan kedua, dominasi SRG semakin ketara, kali ini Hazziq Danish Mohd Rizwan (Stormie) tampil dengan aksi kemas bersama hero ‘Valentina’, menyaksikan skuad kendalian Michael Angelo Bocado (Arcadia) ini cemerlang menutup ‘game’ kedua dalam masa 11 minit.

Sekys terus menjadi watak penting SRG pada ‘game’ ketiga dengan menggunakan hero ‘Suyou’, 9 ‘kills’ tanpa sebarang kematian membantu pasukannya menutup perlawanan dalam tempoh 14 minit untuk SRG mara ke perlawanan akhir ‘lower bracket’ dengan kemenangan 3-0.

Kejayaan melangkah ke final bermakna SRG bakal turun dengan misi balas dendam menentang Todak bagi penentuan tiket ke Grand Final esok.

Pemenang antara SRG dan Todak jugak akan beraksi dengan misi cukup penting, bagi merebut tiket ke Kejohanan Dunia MLBB M6 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur bermula 21 November nanti.

Loading...
Terkini