Tumpuan :
Sukan

E-Sukan: SRG tagih sokongan, mahu menyinar di laman sendiri

Oleh: Al Shaiful Nazib Talib

KUALA LUMPUR: Pasukan Selangor Red Giants (SRG) sedia untuk memanfaat aksi di laman sendiri dalam misi untuk mencipta sejarah menjadi pasukan pertama melakar ‘Golden Road’.

Memang tidak dinafikan cabaran berbeza akan dihadapi menerusi format ‘Swiss Stage’ yang diperkenalkan pada Kejohanan Dunia Mobile Legends Bang Bang (MLBB M6) kali ini.

Namun, persediaan rapi yang telah dilakukan selain sokongan padu peminat pastinya akan memberikan motivasi cukup tinggi kepada SRG yang menjadi salah satu taruhan Malaysia selain Team Vamos pada saingan edisi kali ini.

SRG dibarisi Muhd Qayyum Ariffin Mohd Suhairi (Yums), Muhd Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman (Sekys), Haziq Danish Mohd Rizwan (Stormie), Ilman Zareef Zulkifli (Gojes) dan dua pemain import, Mark Genzon Sojero Rusiana (Kramm) dan John Vincent Banal (Innocent) kini giat menjalani latihan di penginapan rasmi kejohanan di Putrajaya menjelang aksi pembukaan Khamis ini.

Selepas beberapa kejayaan yang dicipta sepanjang tahun ini, SRG pastinya menjadi tumpuan, lebih-lebih lagi ini peluang terbaik pasukan untuk mencipta ‘Golden Road’ selepas kejayaan mengungguli dua musim MPL Malaysia dan menjulang Piala Pertengahan Musim (MSC 2024).

 

Dan kali ini, peluang beraksi di laman sendiri akan dimanfaat sebaik mungkin untuk merealisasikan impian itu.

“Saya tidak lihat ia sebagai tekanan, tetapi ia sebenarnya memberikan motivasi dan satu kelebihan kerana kami dapat merasai sokongan itu, dan bila kami dapat mendengar sokongan mereka, lebih-lebih lagi di hadapan kami, ia akan memberikan kekuatan”, kata ketua jurulatih SRG, Michael Angelo Bocado (Arcadia).

Dan pusingan pertama ‘Swiss Stage’ Khamis ini, SRG akan memulakan kempen menentang wakil Turkiye, S2G Esports.

Walaupun ini pertemuan pertama kedua-dua pasukan, format perlawanan ‘best of 1’ menjadikan cabaran M6 kali ini lebih sukar.

“S2G adalah salah satu pasukan yang kami perlu berhati-hati kerana ini adalah ‘Swiss Stage’ dan ‘best of 1’, segalanya boleh terjadi, kami harus menghormati mereka dan pada masa sama memiliki kemahiran teknikal atau alat yang diperlukan untuk menghadapi mereka.

“Saya mahu berterima kasih kepada semua peminat yang telah menyokong kami dan saya hanya mahu katakan sokongan anda sangat bermakna buat kami dan saya harap anda akan saksikan kami di M6 nanti, kami akan berikan segalanya pada kejohanan dunia ini”, kata Arcadia lagi.

Saingan M6 kali ini menerusi format ‘Swiss Stage’ yang digunakan memerlukan sesebuah pasukan itu melakar tiga kali kemenangan untuk mara ke peringkat ‘playoff’.

Lebih mengujaikan, setiapnpasukan hanya akan mengetahui lawan mereka sebaik perlawanan setiap pusingan berakhir.

Taruhan Malaysia pastinya terarah kepada pasukan SRG dan juga Team Vamos dengan misi awal untuk menang tiga perlawanan dan menempatkan diri ke peringkat ‘playoff’.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini