Oleh: Al Shaiful Nazib Talib
KUALA LUMPUR: Selangor Red Giants (SRG) terus mempamerkan aksi memukau, kali ini mengatasi wakil S8ngapura,Team Flash juga menerusi kemenangan 2-0 pada perlawanan kedua pasukan dalam kumpulan A Kejohanan Mobile Legends Bang Bang Snapdragon Pro Series Challenge Final, ESL musim enam.
Membariskan skuad sama diketuai Muhd Qayyum Ariffin Mohd Suhairi (Yums), Muhd Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman (Sekys), Haziq Danish Mohd Rizwan (Stormie) dan dua pemain import, Mark Genzon Sojero Rusiana (Kramm) dan John Vincent Banal (Innocent), penguasaan disajikan SRG pada ‘game’ pertama.
Innocent dengan hero ‘Harith’ terus sukar disekat menerusi 10 ‘kills’ yang dilakukannya dengan SRG mudah mendapatkan kemenangan pertama dalam tempoh 13 minit.
Bersambung perlawanan kedua, kebangkitan mula disajikan Team Flash terutamanya menerusi Jaymark Aaron Thomas Lazaro (Hades) dengan hero ‘Lukas’.
Namun, memasuki minit ke 16 permainan, SRG mula mempamerkan aksi melawan terutamanya menerusi kawalan cukup tangkas Innocent dengan hero ‘Moskov’.
Serangan balas yang dilakukan SRG menyaksikan mereka berjaya mencipta ‘wipeout’ sebelum kristal Team Flash dapat dimusnahkan, menamatkan pertarungan yang berlangsung selama 18 minit itu.
Kejayaan SRG mencatat keputusan 2-0 menyaksikan skuad kendalian Michael Angelo Bocado (Arcadia) itu ceria dengan dua kemenangan yang diraih hari ini.
Esok, dua pertarungan cukup getir menanti SRG yang menjadi wakil tunggal Malaysia pada kempen ESL kali ini, dijadualkan menentang wakil Indonesia, Team Liquid sebelum turun bertemu juara M6, Onic dari Filipina.
Selain hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak USD150,000, lima pasukan terbaik turun akan meraih tiket ke saingan Snapdragon Pro Series Mobile Masters 202 yang akan berlangsung di Jakarta, Indonesia April nanti.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.