Oleh: Al Shaiful Nazib Talib
PUTRAJAYA: Aksi yang cukup mendebarkan terpaksa ditempuhi pasukan Selangor Red Giants (SRG) sebelum lega menempah tiket ke peringkat ‘playoff’ Kejohanan Dunia Mobile Legends Bang Bang (MLBB M6), sekaligus turut mengekalkan misi ‘Golden Road’ dengan kejuaraan M6 kini menjadi sasaran terakhir.
Berdepan wakil Kemboja, CFU Gaming, SRG dipaksa bekerja keras, bangkit dari ketinggalan untuk menang dengan keputusan 2-1.
Membariskan Muhd Qayyum Ariffin Mohd Suhairi (Yums), Muhd Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman (Sekys), Haziq Danish Mohd Rizwan (Stormie) dan dua pemain import, Mark Genzon Sojero Rusiana (Kramm) dan John Vincent Banal (Innocent), aksi sengit berlangsung pada perlawanan pertama.
Nhem Chandavan (Detective) yang menggunakan hero ‘Suyou’ berjaya menyelamatkan diri pada pertempuran terakhir menyaksikan dia mudah menghadiahkan mata pertama kepada CFU.
‘Game’ kedua, perubahan strategi dilakukan SRG, membawa masuk hero ‘Alpha’ untuk digunakan Sekys selain Innocent menggunakan hero ‘Karrie’.
Dan nyata strategi itu menjadi apabila SRG berjaya merakam keputusan 11-0 dari segi ‘kills’, menutup aksi dalam tempoh hampir 14 minit, sekaligus mengheret permainan ke perlawanan penentuan.
‘Game’ ketiga, penguasaan awal disajikan SRG sebelum kebangkitan mula dilakukan CFU menerusi aksi tangkas Khoun Amey (Xing) yang menggunakan hero ‘Wanwan’.
Ketika kemenangan menghampiri CFU, tindakan pantas Innocent yang menggunakan hero ‘Moskov’ berjaya memerangkap pasukan dari Kemboja itu sebelum turut mendapatkan ‘wipeout’.
Tanpa sebarang pertahanan, cukup mudah buat SRG untuk memusnahkan kristal, sekaligus mengesahkan kemenangan 2-1 pada aksi terakhir pusingan kelima ‘Swiss Stage’.
Kejayaan SRG turut menyaksikan dua wakil negara mara ke saingan ‘knockout’, dengan saingan akan bersambung Sabtu nanti.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.