Tumpuan :
Sukan

E-Sukan: Sentry Symphony Esports timba pengalaman bermakna

Oleh: Al Shaiful Nazib Talib

KUALA LUMPUR: Pasukan Sentry Symphony Esports (SSE) menimba pengalaman cukup bermakna selepas dapat mengambil bahagian dalam saingan APAC Predator League Asia Pasifik bagi permainan Dota 2 yang sedang berlangsung di MITEC.

Menurut pemilik, Shahirul Hakim MD Iskandar (Syiro), ia membuka peluang kepada barisan pemainnya untuk menimba lebih banyak pengalaman bersaing dengan pasukan-pasukan luar.

“Masa main kelayakan, kita punya pemain semuanya pemain tempatan, tetapi sebab ada pemain yang tidak dapat mengambil bahagian, kami menyusun semula, sebab kita nak cuba kembangkan balik, kualiti di Asia Tenggara banyak menurun, jadi kita nak adakan balik ‘home based’, berpengkalan di Asia, jadi nak tak nak kita kena kembangkan, tarik pemain luar main sekali dengan kita, tapi cara kita nak buat persiapan tu, masa untuk buat persediaan agak kecil, jadi keputusannya macam yang dilihat, 0-2.

“Pertamanya kita tahu kita berada di tahap yang bawah, jadi untuk mendapatkan pengalaman itu, kita menang ada ‘scrim’, tetapi untuk dapat ‘feeling’ duduk dalam kejohanan, ia agak berbeza dan Malaysia sekarang ni memang ketandusan kejohanan-kejohanan seperti ini, dulu ada macam Liga E-sukan Malaysia yang membawa permainan Dota 2 ini, sekarang sudah tiada, jadi untuk Predator League ini, harap dia orang dapat teruskan sehingga tahun mendatang, saya harap kami dapat berkembang dan harap ia akan berlaku,” kata Syiro selepas perlawanan yang membabitkan pasukannya SSE berakhir.

SSE yang diundi dalam kumpulan A memulakan kempen menentang wakil Filipina, Ivory.

Membariskan Muhd Syimir Khusaini (wew), dan Izharudin Syamil Mohd Ismazi Effendy (Dang3r), bersama tiga pemain import, Fierlansyah Krishna Desfarro (Fufufier) dan Abdalla Putra Afemi (dalul) dari Indonesia dan Jayquem Puod Gumalan (kimizu), memang aksi mencabar terpaksa ditempuhi menentang pasukan nombor dua dari Filipina itu.

Satu ketika sempat memerangkap lawan pada minit ke 13, penguasaan kembali memihak Ivory yang terus menekan barisan pemain SSE.

Dan SSE terpaksa akur dengan kekalahan pada perlawanan yang menggunakan format ‘best of one’ ini selepas bertarung selama 37 minit.

Misi SSE untuk mencari kemenangan pada perlawanan kedua juga tidak menjadi kenyataan ketika berdepan wakil India, Team Whoops.

Kali ini, penguasaan lebih kemas disajikan pihak lawan, memaksa SSE akur dengan jumlah 35 ‘kills’ berbalas 19 dengan tempoh permainan kekal sehingga 37 minit.

Dua kekalahan berturut-turut menyaksikan SSE menjadi pasukan pertama tersingkir dari persaingan dengan. harapan Malaysia kini terarah kepada dua lagi pasukan, Myth Avenue Gaming (MAG) dan pasukan jemputan wanita, TK Esports yang beraksi di sebelah petang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini