comscore
Tumpuan :
Sukan

E-SUKAN – Saingan MPL Malaysia membuka tirai, HomeBois, RSG dan SMG tampil dominasi awal.

 

Pasukan Homebois (foto: MPL Malaysia)

Oleh Al Shaiful Nazib Talib

KUALA LUMPUR – Saingan pembuka tirai Liga Professional Mobile Legend Bang Bang Malaysia, (MPL Malaysia) berlangsung cukup meriah dengan tiga pasukan, HomeBois, RSG.MY dan juga SMG tampil dengan dominasi, memenangi dua perlawanan pada minggu pertama saingan.

HomeBois yang turut menyenaraikan ‘soloz’ atau Mohd Faris Zakaria sebagai pemain simpanan jelas berada dalam kelas tersendiri apabila memulakan kempen musim ke 11 dengan menundukkan juara bertahan, Team HAQ pada aksi pembukaan yang berlangsung di Stadium Juara di Bukit Kiara.

Ramai menjangkakan penguasaan akan disajikan Team HAQ, namun kejutan dilakukan HomeBois yang memenangi perlawanan dengan format ‘best of three’ itu dengan keputusan 2-0.

Turun menentang pendatang baharu, Team Secret pada hari ketiga, keputusan sama turut dilakar Homebois untuk memastikan kemenangan kedua berturut-turut diraih pasukan.

 

Sementara itu, RSG.MY yang memulakan kempen menentang Team Secret turut tampil dengan dominasi menerusi kemenangan 2-0 pada perlawanan pertama.

Dan Team HAQ menjadi mangsa kedua RSG walaupun lawan berjaya mengheret aksi ke perlawanan pusingan ketiga sebelum memenangi aksi dengan keputusan 2-1.

SMG pula tampil dengan kejutan cukup sensasi apabila gah menundukkan pasukan gergasi, TODAK.

Tewas pada perlawanan pertama, SMG bangkit pada dua pusingan berikutnya untuk merakam kemenangan cukup bermakna dengan keputusan 2-1.

Momentum itu turut diteruskan SMG dengan memenangi perlawanan kedua, kali ini menewaskan pasukan Madness Esports dengan keputusan 2-0.

Saingan musim ke 11 MPL Malaysia membabitkan penyertaan 10 buah pasukan yang dijalankan menerusi format satu kumpulan sahaja, dilangsungkan selama enam minggu untuk musim regular dan menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah $100,000.

Juara MPL Malaysia musim ke 11 ini tururt akan meraih tiket ke saingan Piala Asia Tenggara MLBB (MSC) yang dijadualkan berlangsung di Kemboja Jun nanti.

Loading...
Terkini