Oleh: Al Shaiful Nazib Talib
KUALA LUMPUR: Myth Avenue Gaming (MAG) berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir bagi judul permainan Dota 2 pada saingan Predator League Asia Pasifik 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Malaysia, MITEC.
Ia selepas dua kemenangan yang dirakam MAG yang dibarisi Chan Kok Khin (Chucky), Lee Qian Yu (Afterrain), Tran Hoang Minh Quy (bombi), Mark Anthony Urbina (Bob King) dan James Erice Guerra (Erice) menyaksikan mereka muncul sebagai juara kumpulan D.
Berdepan wakil Thailand, Caterpillar, MAG jelas dapat mengawal permainan dengan lawan yang menggunakan hero ‘early game’ jelas mula tertekan apabila permainan terus berlanjutan lebih 30 minit.
Dan penguasaan mula disajikan MAG sebelum mereka akhirnya menutup aksi selepas menamatkan pertarungan yang berlangsung selama 47 minit itu.
Bersambung menentang wakil India, Rouge Squad pada perlawanan kedua, dominasi penuh disajikan MAG yang jelas berada dalam kelas tersendiri mengawal aksi.
Dan kali ini, hanya 34 minit masa yang diambil untuk menutup perlawanan, sekaligus mengesahkan tempat MAG ke peringkat separuh akhir selaku juara kumpulan D.
“Perlawanan dengan Caterpillar, memang mereka kuat, kami pun agak gementar berbanding mereka tapi kami buat persediaan yang cukup, jadi itulah yang kami menanglah, dan perlawanan kedua tu, pasukan dari India, agak malang pasukan itu ada yang tak datang, jadi, mereka cari pemain gantian dan perlawanan itu tidak susah sangatlah.
“Kami tak tahu siapa yang akan lawan, jadi tunggulah ada beberapa hari kami boleh rehat, kami tengok, kalau kami sudah tahu siapa yang kita lawan, kami nak buat persediaan tengok apa hero yang mereka pakai sebelum ni.
“Separuh akhir ini tak ada peluang yang kedua, itu yang penting, tak boleh ada kesilapan, sekarang kami tahu sudah ada dua semifinalis, kami nak tengok apa yang mereka buat perlawanan mereka itulah yang mereka lawan tadi, itu persediaan kami buat, harap yang terbaik, boleh menang.
“Kerana kami pasukan Malaysia, boleh main dalam peringkat separuh akhir mewakili Malaysia, itu adalah bangga, tapi harap kerana kami sebagai pasukan tuan rumah, harap yang terbaik kami boleh pergi final dan menang,” kata Chucky selepas perlawanan.
Selain MAG, turut melangkah ke peringkat separuh akhir adalah pasukan Ivory dari Filipina, 123 Gaming dari Mongolia dan wakil Indonesia, Team Helios.
Peringkat separuh akhir dijadualkan berlangsung pada 12 Januari nanti, di susuli dengan perlawanan akhir pada hari sama.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.