Oleh: Al Shaiful Nazib Talib
KUALA LUMPUR: Myth Avenue Gaming (MAG) berjaya menjulang perisai Predator League Asia Pasifik 2025 selepas mengungguli judul permainan Dota 2 menewaskan wakil Indonesia, Team Helios pada aksi grand final yang berlangsung di MITEC.
Pertarungan yang menggunakan format ‘best of three’ itu menyaksikan MAG menang dengan keputusan 2-0.
MAG yang dibarisi Chan Kok Khin (Chucky), Lee Qian Yu (Afterrain), Tran Hoang Minh Quy (bombi), Mark Anthony Urbina (Bob King) dan James Erice Guerra (Erice) bermula dengan sederhana selepas penguasaan cuba disajikan Team Helios.
Sehinggalah memasuki minit ke 30 permainan, MAG mula mencipta gerakan, bangkit dengan taktikal-taktikal yang cukup baik.
Dan aksi kemas Chucky dengan hero ‘Spectre’ membolehkan MAG menutup perlawanan ‘game’ pertama, mengakhiri pertarungan yang berlangsung selama 41 minit.
Memasuki ‘game’ kedua, Team Helios cuba untuk bangkit mencabar MAG.
Namun, MAG jelas bermain cukup kemas, tidak melakukan kesilapan mudah, sekaligus menyukarkan lawan untuk membuat gerakan.
Dan kali ini, hanya 34 minit tempoh masa yang diambil untuk menoktahkan aksi, sekaligus mengesahkan status MAG selaku juara Predator League Asia Pasifik bagi edisi 2025.
Kejayaan MAG juga menyaksikan mereka membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah AS65,000 dengan Bob King turut diumumkan sebagai pemain paling bernilai, menerima hadiah bonus berjumlah AS10,000.
Yang pasti, kejayaan MAG mengungguli permainan Dota 2 ini mengakhiri penantian selama 7 tahun selepas kali terakhir Malaysia bergelar juara pada edisi pertama kejohanan menerusi kejayaan pasukan Geek FAM.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.