Oleh: Al Shaiful Nazib Talib
PETALING JAYA: Rekod kemenangan berturut-turut Selangor Red Giants (SRG) dalam kempen Liga Profesional Mobile Legends Bang Bang (MPL Malaysia) akhirnya terlerai selepas tewas buat kali pertama kepada pasukan Monster Vicious (MV) hari ini.
Kemenangan 2-1 berjaya dirakam MV dalam pertarungan yang cukup sengit, memecahkan rekod tujuh kemenangan berturut-turut SRG musim ini.
SRG yang kekal dengan barisan sama diketuai Muhd Qayyum Ariffin Mohd Suhairi (Yums), Muhd Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman (Sekys), Haziq Danish Mohd Rizwan (Stormie) dan dua pemain import, Mark Genzon Sojero Rusiana (Kramm) dan John Vincent Banal (Innocent) jelas berada dalam kelas tersendiri ketika memulakan perlawanan pertama.
MV pula diketuai Abdul Azim Abdul Rashid (NovaXcobar), Muhd Harith Jefri (Zeno), Muhd Danish Fitri Razman (Unii), Ammar Asyraf Abdul Rahman (Martzy) dan Dhiya Harith Hazran Shahrul Hadafi (Rough) bermain baik di awal permainan sebelum penguasaan mula memihak SRG.
Kesilapan ketika pertempuran untuk mendapatkan ‘lord’ menyaksikan MV dihukum apabila dikenakan ‘wipeout’, memudahkan SRG untuk mendapatkan mata pertama.
Bersambung ‘game’ kedua, MV sedar kesilapan yang telah dilakukan, dan kali ini tampil dengan permainan lebih berhati-hati.
Penggunaan hero “Hylos” oleh NovaXcobar dan ‘Zhuxin’ oleh Martzy membuka banyak ruang buat Rough mendapatkan ‘kills’ sebelum MV menutup aksi dalam tempoh 13 minit, mengikat kedudukan semasa 1-1.
Perlawanan penentuan, pergerakan Sekys dengan hero ‘Ling’ dan Innocent yang menggunakan hero ‘Brody’ berjaya dikunci dengan kemas barisan pemain MV.
Dan ia membuka ruang luas buat Unii yang menggunakan hero ‘Fanny’ untuk mendapatkan ‘kills’ selain memenangi pertarungan ‘retribution’ menentang Sekys.
Kejayaan sensasi akhirnya tercipta apabila MV menutup aksi dalam tempoh 15 minit, memecah rekod kemenangan 19 perlawanan keseluruhan SRG dalam saingan MPL Malaysia sejak musim lalu menerusi kemenangan 2-1.
Kejayaan itu juga menyaksikan MV kini melonjak ke tangga ketiga liga, sekaligus berpeluang untuk mengunci slot ‘upper bracket’ peringkat ‘playoff’ nanti sekiranya memenangi perlawanan terakhir menentang JP Niners esok.
Saingan ‘playoff dijadualkan berlangsung pada 31 Oktober hingga 3 November di Indoor Arena, Kompleks Sukan EduCity di iskandar Puteri, Johor dengan dua pasukan terbaik akan menempah tiket ke Kejohanan Dunia MLBB M6 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur hujung November nanti.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.