Tumpuan :
Sukan

E-SUKAN – Malaysia jumpa Turkiye di suku akhir

Oleh Al Shaiful Nazib Talib

KUALA LUMPUR: Skuad Mobile Legends Bang Bang kebangsaan akan berdepan Turkiye pada peringkat suku akhir, pusingan ‘playoff’ pada saingan Kejohanan E-Sukan Dunia 2024 yang berlangsung di Riyadh, Arab Saudi ketika ini.

Ia selepas kejayaan pasukan yang ditunjang barisan pemain Selangor Reds Giants (SRG) yang muncul naib juara kumpulan ‘B’ selepas menumpaskan Amerika Syarikat pada perlawanan penentuan kumpulan menerusi keputusan 2-0.

Malaysia dibarisi hampir sepenuhnya pemain SRG diketuai Muhd Qayyum Ariffin Mohd Suhairi (Yums), Muhd Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman (Sekys), Haziq Danish Mohd Rizwan (Stormie), Ilman Zareef Zulkifli (Gojes) dan ‘Gold Laner’ pasukan JP Niners, Ealtond Rayner (Lolealz) memulakan kempen dengan kemenangan 2-0 ke atas Amerika Syarikat.

Pertemuan dua pasukan menang dalam Kumpulan B menyaksikan Malaysia terpaksa akur, tewas kepada Filipina 1-2, memaksa pasukan bermain perlawanan penentuan, sekali lagi bertemu dengan Amerika Syarikat.

Agak sengit pada perlawanan pertama, skuad negara terpaksa mengambil masa sehingga 15 minit sebelum mengutip mata pertama dengan Sekys dan Lolealz mempamerkan aksi cemerlang.

‘Game’ kedua, penguasaan disajikan Malaysia dengan hanya 12 minit diperlukan untuk skuad negara mengesahkan kemenangan 2-0 ke atas Amerika Syarikat, sekaligus mengiringi Filipina dari Kumpulan B mara ke peringkat ‘playoff’.

Saingan ‘playoff’ hari ini, skuad negara akan turun beraksi di peringkat suku akhir jam 5 petang ini menentang juara kumpulan C, Turkiye yang cemerlang dengan tiga rekod kemenangan setakat ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini