Oleh: Al Shaiful Nazib Talib
KUALA LUMPUR: Harapan Selangor Red Giants (SRG) untuk mara ke peringkat playoff kejohanan Mobile Legends Bang Bang Snapdragon Pro Series Challenge Final tidak kesampaian.
Perlawanan terakhir kumpulan A menentang wakil Indonesia, Bigetrom Esports, SRG terpaksa akur dengan kekalahan 1-2, menamatkan aksi di kedudukan keempat kumpulan.
SRG yang dibarisi Muhd Qayyum Ariffin Mohd Suhairi (Yums), Muhd Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman (Sekys), Haziq Danish Mohd Rizwan (Stormie) dan dua pemain import, Mark Genzon Sojero Rusiana (Kramm) dan John Vincent Banal (Innocent) bermula agak goyah pada ‘game’ pertama dengan Bigetron lebih mendominasi.
Namun, gerakan menarik ketika cuba mendapatkan ‘lord’ berjaya memerangkap pasukan Bigetron dengan SRG ceria mengutip mata pertama, menamatkan pertarungan yang berlangsung sehingga 22 minit itu.
Memasuki perlawanan kedua, aksi seimbang disajikan kedua-dua pasukan dengan Innocent menjadi watak utama SRG menerusi penggunaan hero ‘Claude’.
Namun, permainan kemas Eman Llanda Sangco (Emann) dengan hero ‘Moskov’ menyaksikan kebangkitan berjaya dilakukan Bigetron yang ceria menyamakan kedudukan selemat menamatkan aksi dalam tempoh 19 minit.
Diheret ke ‘game’ penentuan, permainan lebih kemas disajikan Bigetron, memaksa SRG bekerja keras mengekang segala asakan.
Emann kali ini dengan hero ‘Granger’ jelas lebih memukau, mendapatkan 18 ‘kills’ secara peribadi, menyaksikan Bigetron gah menutup aksi dalam tempoh 15 minit, mengesahkan kemenangan 2-1 ke atas SRG.
Bermakna Bigetron turut menjadi pasukan ketiga mara ke pusingan playoff, sementara cabaran SRG sudah berakhir selepas sekadar mengakhiri saingan kumpulan A di tempat keempat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.