comscore
Tumpuan :
Sukan

E-Sukan: Black Shrew, Team Secret mulakan kempen dengan langkah kanan

Black Shrew Esports

Oleh: Al Shaiful Nazib Talib

PETALING JAYA: Pasukan Black Shrew Esports (BSE) dan Team Secret (TS) memulakan kempen di Kejohanan Honor Of Kings (HOK) 2024 dengan langkah kanan selepas masing-masing menang aksi pembukaan peringkat kumpulan.

BSE dibarisi Lee Han Siang (Siang), Chan Tat Yann (MusangKing), Lim Chee Hong (Zhihong), Ryan Na Jie Rong (JR), dan Low Li Zhe (Zhe) tampil dengan permainan cukup kemas pada perlawanan pertama menentang wakil Singapura, Revenant Esports semalam.

MusangKing yang menggunakan hero ‘Augran’ nyata berada dalam kelas tersendiri apabila merakam 7 ‘kills’ pada perlawanan pertama sebelum BSE menutup aksi dalam tempoh 10 minit.

‘Game’ kedua, permainan lebih pantas dipamerkan BSE, kali ini, Zhihong yang menggunakan hero ‘Shangguan’ cukup menyerlah terutamanya bantuan yang diberikan kepada pasukan.

Kali ini, hanya kurang 9 minit masa yang diambil BSE untuk memastikan kemenangan 2-0 menjadi milik pasukan.

Perlawanan kedua BSE dijadualkan berlangsung esok menentang wakil dari Myanmar, Impunity.

Kejayaan BSE turut diikuti satu lagi wakil negara, Team Secret yang dibarisi Cha Jia Xuan (Xuann), Hoo Wen Feng (TianX), Chong Kean Loong (Loong), Ong Ee SOn (Son) dan Ang Aik Yeong (YuHan).

Menentang wakil Brazil, Influence Rage dalam aksi pembukaan kumpulan C, aksi yang ditampilkan Team Secret cukup mengujakan.

Perlawanan pertama, mereka hanya memerlukan 8 minit saja untuk mengutip mata sulung dengan Xuann dan TianX menjadi watak penting pasukan.

Bagaimanapun, pada perlawanan kedua, cabaran cuba diberikan Rage yang berusaha keras untuk melakukan kebangkitan.

Namun, permainan tenang yang dipamerkan Team Secret mula membuahkan hasil dengan Son tampil dengan aksi cemerlang menggunakan hero ‘Loong” menerusi 12 ‘kills’ yang diperolehinya secara peribadi.

Dan kali ini, pertarungan ditamatkan selepas hampir 21 minit, menyaksikan Team Secret ceria mengutip mata penuh hasil kemenangan 2-0.

Esok, lawan lebih mencabar menanti team Secret apabila mereka dijadualkan bertemu dengan wakil Filipina, BOOM Esports.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini