KUALA LUMPUR: Pengikut sukan elektronik (e-Sport) pastinya mengenali CikuGais, Momo, Izanami, Xorn, Garyy, Chibii dan Rippo.
Inilah nama-nama pemain terkenal Mobile Legend Bang Bang (MLBB) tanah air yang telah dipilih Jawatankuasa Pemilihan Tugas Khas E-Sport Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk mewakili negara di Sukan SEA Kemboja 2023.
Dalam siaran media yang dihebahkan menyenaraikan tujuh pemain iaitu Muhammad Danial Mohamad Fuad, Idreen Abdul Jamal, Mohammad Irwandy Lim,
Mohammad Zul Hisham Mohd Noor, Muhammad Syafizan Najmi Kamarulzaman, Muhammad Nazhan Mohd Nor, Muhammad Arif Abdul Halim bersama Khairul Azman Mohd Sharif selaku jurulatih, Poon Kok Sing penolong jurulatih dan penganalisis Muhammad Hazim Firdaus Ismail menganggotai negara di kategori terbuka di Phnom Penh pada 12 hingga 14 Mei nanti.
“Kami yakin dengan barisan Malaysia menerusi #REVOLUXI kali ini. Peminat digalakkan memberi sokongan kepada pasukan dan menanti aksi mereka pada tarikh tersebut,” kata Fikri Rizal Mahruddin, Ketua Pemasaran dan Pengembangan Perniagaan, MPL Malaysia.
“Kami mempunyai cabaran untuk mengenal pasti individu tepat di setiap posisi skuad. Selepas penilaian serta berunding dengan pakar, jurulatih, penganalisa dan pengurus pasukan, kami yakin inilah barisan bintang terbaik dikumpulkan untuk Sukan SEA.” kata Muhammad Farouq Abdul Patah, Penolong Pengurus Projek Jawatankuasa Pemilihan Tugas Khas E-Sport MOM.
Sesi pemilihan diadakan secara tertutup minggu lalu membabitkan seramai 55 atlet untuk mewakili negara.
Sukan SEA ke-32 di Kemboja kali ini turut mempertandingkan kategori wanita MLBB buat kali pertama.