PETALING JAYA: Dua perseorangan lelaki dan tiga beregu campuran meneruskan cabaran negara ke suku akhir pada Kejohanan Badminton Masters Korea di Gwangju hari ini.
Leong Jun Hao dan Soong Joo Ven bagaimanapun punya cerita berbeza sebelum melepasi halangan pusingan kedua.
Juara Masters Kuala Lumpur itu menang 21-16 dan ketika mendahului 3-0 pada set kedua lawannya dari Finland, Kalle Koljonen menarik diri untuk memberi laluan Jun Hao berdepan pemain China, Lee Lan Xi, suku akhir esok.
Joo Ven pula terpaksa beraksi tiga set sebelum menewaskan pemain tuan rumah, Jeon Hyeok Jin pada satu lagi aksi pusingan kedua.
Agak gementar pada set pertama dan tewas mudah 7-21, Joo Ven bangkit pada ser kedua dengan kemenangan 21-14, sebelum menamatkan cabaran Hyeok Jin 21-17 pada pertarungan yang berlarutan 57 minit itu.
Bakal ditentang Joo Ven pada suku akhir esok, pemenang di antara pemain Jerman, Kain Schaefer dan Kento Momota dari Jepun yang sedang beraksi.
Terdahulu tiga beregu campuran negara mengesahkan tempat ke suku akhir.
Goh Soon Huat dan Shevon Lai piihan ke-5, menang mudah 21-11, 21-13 ke atas beregu tuan rumah, An Yun Seong – Lee Yeon Woo.
Mereka dituruti gandingan Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei pilihan ke-4, mengatasi beregu senegara Hoo Pang Ron – Cheng Su Yin, 21-9 21-8.
Sejurus kemudian giliran Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing pilihan ke-6 meneruskan kemaraan, mengalahkan beregu Taiwan. Wu Hsuan Yi – Yang Chu Yun 22-20 18-21, 21-18.
Satu lagi pasangan negara, Yap Roy King dan Valeree Siow, gagal melepasi pusingan kedua, tewas kepada beregu tuan rumah yang juga pilihan ke-3, Kim Won Ho-Jeong Na Eun 11-21, 12,21.
|ARTIKEL BERKAITAN