KUALA LUMPUR: Tiket beraksi di Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China tampak seperti sudah tertutup buat beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik selepas ditunjukkan jalan keluar di pusingan kedua Masters Kumamoto, Jepun, hari ini.
Diletakkan sebagai pilihan keempat kejohanan berstatus Super 500 BWF (Persekutuan Badminton Dunia), pasangan utama negara itu tewas kepada beregu Taiwan, Chiu Hsiang Chieh- Wang Chi Lin dalam aksi straight set 11-21, 13-21.
Malah, Hsiang Chieh-Chi Lin yang mengisi ranking 59 dunia hanya memerlukan tempoh 26 minit sebelum mencatat kemenangan ke atas beregu ranking enam dunia itu.
Segar dengan kemenangan pertamanya tahun ini di Masters Korea, minggu lalu, Aaron-Wooi Yik sebelum ini perlu mara sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir dalam kedua-dua baki kejohanan – Masters Kumamoto dan Masters China jika mahu beraksi di kejohanan berprestij dan mewah itu.
Begitupun, segala-galanya tampak tidak menjadi buat pemenang pingat gangsa Olimpik Paris 2024 itu dengan pelbagai siri kesilapan dilakukan dalam perlawanan sebelum tewas.
Sementara itu, peluang beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani untuk menambah koleksi kejuaraan di Jelajah BWF tidak kesampaian apabila turut kandas di pusingan kedua.
Tiba di Gimnasium Kumamoto sebagai pilihan kelima kejohanan, beregu nombor lapan dunia itu tewas kepada rakan senegara, Nur Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong.
Lebih mengecewakan, pemenang Terbuka China itu tewas dalam aksi straight set 21-9, 23-21 kepada Azriyn-Wee Kiong dalam tempoh 36 minit.
Lawan Azriyn-Wee Kiong yang menghuni ranking 40 dunia di suku akhir esok adalah Hsiang Chieh-Chi Lin.
Malaysia masih berpeluang untuk menambah wakil di peringkat lapan terbaik, esok apabila satu lagi beregu negara, Man Wei Chong-Kai Wun Tee turut mara namun cabaran menanti pasangan ranking ke-14 dunia itu cukup sukar apabila dijadual bertemu pilihan ketiga kejohanan dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.