comscore
Tumpuan :
Sukan

Dua beregu badminton negara buru kejuaraan malam ini

Aaron Chia-Soh Wooi Yik. – FOTO: Ihsan BAM

PETALING JAYA: Malam ini di dua venue berbeza dua pasangan badminton lelaki negara akan berentap pada aksi final untuk memburu kejuaraan sulung tahun ini.

Beregu nombor satu negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan tampil dalam perlawanan akhir Seluruh England manakala gandingan muda Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian beraksi dalam final Masters Orleans di Perancis.

Ironinya kedua-dua beregu negara  akan berdepan halangan terakhir, lawan dari Indonesia.

Aaron-Wooi Yik akan menentang Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto manakala Haikal-Hon Jian bertemu Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani.

Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian. – FOTO: Ihsan BAM

Ia final keempat Haikal-Hon Jian dalam saingan Jelajah Dunia BWF sejak digandingkan pada Ogos tahun lalu dengan mereka muncul juara di Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi dan Masters Guwahati di India pada Disember tahun lalu.

Bagi Aaron-Wooi Yik perlawanan akhir Seluruh England malam ini pasti mengimbas edisi final 2019 di mana mereka tewas kepada gandingan berpengalaman Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan.

Justeru inilah peluang terbaik Aaron-Wooi Yik menebus kekecewaan itu, apatah lagi berdasarkan rekod pertemuan menentang Fajar-Rian, mereka mempunyai kelebihan, menang empat daripada tujuh perlawanan

Haikal pula pernah melangkah ke final Masters Orleans pada edisi 2022 tetapi bersama Wan Arif Wan Junaidi.

Mereka bagaimanapun terpaksa menarik diri daripada aksi final dan berpuas hati dengan gelaran naib juara selepas Haikal diuji positif COVID-19.

Seluruh England kejohanan berprestij yang berusia 125 tahun menawarkan wang tunai keseluruhan AS$1,300,000  (kira-kira RM1.6 juta) manakala Masters Orleans bertaraf Super 300 menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$210,000 (kira-kira RM988,000).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini