comscore
Tumpuan :
Sukan

Dortmund bawa bekal 1 gol ke PSG

Pemain Dortmund, Jadon Sancho (kanan) cuba mengelak terjahan pemain PSG, Bradley Barcola pada separuh akhir pertama Liga Juara-Juara di Signal Iduna Park, Dortmund awal pagi tadi. – FOTO: Reuters

DORTMUND: Penyerang Borussia Dortmund, Niclas Fuellkrug meledak gol dibabak pertama untuk memastikan kemenangan 1-0 ke atas pelawat Paris Saint-Germain (PSG) pada separuh akhir pertama Liga Juara-Juara awal pagi tadi.

Nico Schlotterbeck membuat satu hantaran lambung yang menemui Fuellkrug dan penyerang Jerman itu mengawal bola dengan sentuhan pertamanya sebelum merembat leret melepasi penjaga gol Gianluigi Donnarumma pada minit ke-36.

PSG, yang baru saja ditabal sebagai juara Ligue 1 dan terdesak untuk memenangi trofi sulung mereka dalam Liga Juara-Juara, mendapati terlalu sukar untuk melepasi benteng Jerman yang penuh berdisiplin, terutama pada babak pertama dengan penyerang Kylian Mbappe banyak kali dikecewakan.

“Kami berhak menang, satu persembahan sepasukan yang mantap,” kata jurulatih Dortmund, Edin Terzic. “Kami patut menjaringkan lebih banyak gol, begitu juga mereka.

“Itulah sebabnya keputusan ini OK daripada pandangan saya. Kami banyak berlari, tetapi ia memang diperlukan dalam perlawanan sebegini.

“Anda perlu berusaha untuk layak ke Wembley. Apa yang kami perlukan sekarang adalah seri pada aksi kedua, tetapi kami juga mahu menang minggu depan.”

Jurulatih Borussia Dortmund, Edin Terzic. – FOTO: Reuters

Terzic turut memuji pemain sayap Jadon Sancho yang bertindak cemerlang ketika kemenangan 1-0 itu.

“Dia sering kali mempamerkannya ketika latihan. Ia mungkin tidak mudah untuk membawanya ke tengah padang, terutamanya apabila anda tidak kerap beraksi.

“Kami tahu kualitinya dan kami saksikannya sekali lagi hari ini. Kami sedar kami perlukan persembahan sebegitu daripada Jadon.”

Pemain berusia 24 tahun itu menyertai Dortmund secara kontrak pinjaman enam bulan pada Januari lalu, selepas digugurkan daripada pasukan utama oleh pengurus Manchester United, Erik ten Hag.

Pemenang perlawanan itu akan berdepan sama ada Bayern Munich atau Real Madrid, yang seri 2-2 pada aksi pertama awal pagi semalam di Munich. – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini