Tumpuan :
Sukan

DODGEBALL: MAD terima aduan isu gangguan seksual

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Arena sukan tanah air sekali lagi digemparkan dengan kes gangguan seksual kali ini membabitkan sukan dodgeball.

Apa yang lebih mengejutkan lagi, mangsa merupakan murid sekolah rendah menyaksikan Presiden Persatuan Dodgeball Malaysia, (MAD) Datuk Radhakrishnan mengakui pihaknya telah pun menerima aduan daripada Biro Kokurikulum Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.

MAD bertindak daripada aduan yang dilaporkan pada 13 Jun lalu ke atas jurulatih berkenaan yang memegang sijil bertauliah bersama badan induk itu.

Namun setelah disiasat, lesen kejurulatihan individu tersebut telah ditamatkan lebih awal iaitu pada 11 Jun 2021 atas kesalahan menggunakan sijil kejurulatihan tahap dua yang tidak wujud.

Berdasarkan pelanggaran tersebut, pihak Akademi Kejurulatihan Kebangsaan (AKK) di bawah naungan Institut Sukan Negara (ISN) juga telah membatalkan sijil kejurulatihannya.

“Saya dengan segera menjawab bahawa jurulatih yang dalam laporan polis keluar dari MAD, kami telah menamatkan perkhidmatannya pada Jun 2021 kerana beberapa masalah disiplin dan pemalsuan dokumen. Jadi kami memaklumkan AKK mengenai perkara ini dan juga AKK membuat keputusan untuk menamatkan jurulatih ini,” jelas Datuk Radhakrishnan

Tindakan tidak bermoral itu jelas memberi impak negatif kepada sukan dodgeball malah secara tidak langsung akan memberi kesan kepada ibu bapa untuk membabitkan anak-anak mereka dengan aktiviti sukan di sekolah.

“Di MAD, kami tidak boleh melakukan apa-apa. Jadi ia terserah kepada KBS atau MSN atau AKK, apa tindakan selanjutnya yang perlu mereka ambil ke atas jurulatih ini, jadi saya rasa pihak yang sebaiknya adalah KBS la,” tambah Presiden MAD itu lagi.

Justeru Datuk Radha akan membuat pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh Selasa depan, bagi membincangkan dengan lebih terperinci seiring pelaksanaan kod sukan selamat yang telah dilancarkan Mac lalu.

Ia diharap dapat melindungi komuniti sukan daripada sebarang bentuk penderaan, gangguan dan keganasan dalam sukan yang boleh menjejaskan kesihatan mental dan fizikal peserta dan atlet yang terlibat.

Loading...
Terkini