Tumpuan :
Sukan

Ditewaskan Newcastle, Man City tersingkir di pusingan ketiga Piala Liga

Pemain Newcastle, Joelinton meraikan jaringan pasukannya ketika aksi pusingan ketiga Piala Liga menentang Manchester City di St James’ Park, Newcastle. – Foto: Reuters

NEWCASTLE: Manchester City tewas 1-0 kepada Newcastle, sekali gus tersingkir daripada saingan Piala Liga.

Gol tunggal dijaringkan Alexander Isak pada minit ke-53 aksi di St. James’ Park.

City memenangi treble Liga Juara-Juara, Liga Perdana Inggeris dan Piala FA musim lalu, namun peluang untuk mengatasi pencapaian itu kini berakhir.

Skuad kendalian Pep Guardiola ternyata hilang taring di bahagian serangan walaupun menguasai babak pertama.

Erling Haaland pula sekadar memanaskan bangku simpanan.

Newcastle mula mengawal permainan selepas Anthony Gordon dan Bruno Guimaraes dimasukkan di babak kedua.

Isak mudah menyempurnakan jaringan selepas larian Joelinton berjaya menembusi benteng City.

“Kemenangan seperti ini melonjakkan semangat kami. Babak pertama, kami cuba merehatkan beberapa pemain. Babak kedua, kami lebih baik selepas Anthony Gordon dan Bruno dimasukkan, mereka pemain berkualiti,” kata Howe.

Newcastle bakal bertemu juara bertahan, Manchester United di pusingan keempat. – REUTERS

Loading...
Terkini