PUTRAJAYA: Carian bagi mendapatkan kemudahan sukan di seluruh negara kini lebih mudah dan luas apabila Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyenaraikan 1,135 fasiliti yang dimiliki dan dikendalikannya dalam direktori fasiliti yang diperkenalkan hari ini.
Menterinya Hannah Yeoh berkata direktori fasiliti itu boleh dilayari menerusi www.kbs.gov.my/home-fasiliti.html.
Direktori itu akan ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memudahkan orang ramai dan persatuan sukan kebangsaan (NSA) membuat pemeriksaan sebelum menggunakan fasiliti tersebut.
Lebih menarik, orang ramai juga boleh membuat tempahan fasiliti yang mahu digunakan secara dalam talian.
Pada masa sama, Hannah berharap direktori itu dapat menangani isu kekurangan kemudahan yang dibangkitkan oleh NSA ketika sesi perjumpaan diadakan Disember lepas, selain pihaknya juga sedia berbincang untuk memberikan kadar sewa murah bagi latihan pasukan kebangsaan melibatkan sukan kurang popular.
“Direktori ini juga dapat menilai sama ada wujud percanggahan dalam infrasktruktur merentas Parlimen yang mewujudkan mismatch antara kemudahan dan keperluan mengikut lokasi dan jenis sukan, serta menggalakkan penggubal undang-undang menjadi lebih strategik apabila membangkitkan isu infrastruktur di Parlimen.
“Selain itu, dapat mengelakkan isu projek pembangunan ad-hoc sebelum ini yang dibina kerana kekurangan perancangan dan membolehkan penggunaan dana yang sewajarnya untuk pembangunan infrastruktur masa depan,” katanya pada sidang media di Menara KBS.