LONDON: Erik ten Hag kini boleh memikirkan sesuatu tentang masa depannya di Old Trafford selepas Manchester United berisiko gagal melayakkan diri ke saingan Eropah musim depan selepas dibelasah Crystal Palace 0-4.
Kekalahan itu menyaksikan Red Devils berada di tangga kelapan Liga Perdana Inggeris (EPL), dengan 54 mata dan semakin hampir untuk dipintas West Ham dan Bournemouth.
Michael Olise menjaringkan dua gol, di kedua-dua separuh masa, ditambah dengan jaringan Jean Philippe Mateta dan Tyrick Mitchell, untuk kebangkitan semula Palace sejak pelantikan Oliver Glasner sebagai pengurus.
Masa bagi ‘penyingkiran’ Ten Hag mungkin akan berlaku tidak lama lagi kerana pengurus kelahiran Belanda itu gagal untuk menahan kejatuhan dalam musim kedua beliau.
Sebagai rekod United hanya sekali sahaja tidak menyertai pertandingan Eropah sejak musim 1989-90.
Perkara itu berlaku selepas mereka menduduki tempat ketujuh dalam kempen tunggal David Moyes 10 tahun lalu dan beliau dipecat dengan ketika berbaki empat perlawanan.
United tidak pernah berada di tempat yang lebih rendah daripada tempat ketujuh dalam era EPL tetapi ia mungkin berlaku menjelang pertemuan dengan Arsenal yang mengejar gelaran liga di Old Trafford Ahad ini.
Ten Hag sebagaimana biasa memberi alasan masalah kecederaan sebagai punca kemerosotan prestasi pasukannya.
Menentang Palace awal pagi tadi, Ten Hag terpaksa menggabungkan pemain di bahagian pertahanan, apabila Casemiro terpaksa bergandingan bersama Jonny Evans yang berusia 36 tahun.
Kapten Bruno Fernandes pula tidak dapat diturunkan kerana mengalami kecederaan.
Palace tidak tewas dalam lima perlawanan terakhir mereka apabila bekas bos Eintracht Frankfurt, Glasner mengambil alih pasukan.
Olise menarik minat daripada United, Manchester City dan Chelsea dan menunjukkan sebabnya ketika dia melepasi bahagian tengah pertahanan pelawat sebelum merembat rendah menewaskan Andre Onana pada minit ke-12.
United gagal menyempurnakan walaupun satu rembatan tepat ke sasaran pada separuh masa pertama.
Mateta yang menunjukkan perubahan di bawah kendalian Glasner menjaringkan gol kesembilannya dalam 11 perlawanan pada minit ke-40 selepas melepasi Evans dengan mudah.
Tiada sebarang tindak balas daripada United selepas rehat pada malam yang mungkin menjadi masalah terakhir bagi kumpulan kepimpinan baharu kelab itu dalam menentukan masa depan Ten Hag.
Beberapa tindakan tangkas daripada Onana secara ringkas mengekalkan kedudukan ketika dia menyelamatkan percubaan daripada Eze, Will Hughes dan Mitchell secara berturut-turut.
Bagaimanapun, dia tidak berdaya untuk menafikan percubaan Mitchell pada minit ke-58.
Onana kemudiannya terperangkap oleh serangan Olise yang melepasi penjaga gol Cameroon itu di minit ke-66.
Perlawanan akhir Piala FA menentang Manchester City menawarkan Ten Hag satu peluang terakhir untuk menebus kesilapan, itupun jika beliau mampu bertahan sehingga 25 Mei.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.