comscore
Tumpuan :
Sukan

Dhabitah lega sudah pulih dari kecederaan

Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Penerjun wanita negara, Nur Dhabitah Sabri mengakui lega apabila dirinya bebas daripada sebarang kecederaan bagi beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Dhabitah yang dipilih Persekutuan Renang Malaysia (MAS) bagi mengisi slot tambahan diberikan Akuatik Dunia akan mengambil bahagian dalam acara 3 meter (m) papan anjal individu wanita.

Atlet berusia 24 tahun itu sebelum ini dihantui dengan beberapa siri kecederaan termasuklah ketika dia terpaksa menarik diri daripada acara 10m platform seirama di Kejohanan Akuatik Dunia di Fukuoka, Jepun susulan kecederaan pergelangan tangan.

Pada Kejohanan Dunia di Doha, Qatar, Februari lalu, Nur Dhabitah mengalami kecederaan lengan (tricep) sehingga menjejaskan prestasinya.

“Alhamdulillah, saya tidak mengalami sebarang kecederaan ketika ini, ada sedikit-sedikit itu biasalah untuk atlet.

“Namun, apa yang paling penting adalah saya tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan itu sudah membuatkan saya gembira,” kata Nur Dhabitah ketika temu bual bersama TV3.

Bulan lalu, Nur Dhabitah menyertai latihan dan kejohanan di Australia tetapi terpaksa menarik diri ketika separuh akhir Terbuka Australia kerana mengalami demam.

“Saya mampu beraksi dalam pusingan kelayakan tetapi terpaksa menarik diri daripada aksi separuh akhir.

“Saya sudah agak lama tidak ke luar negara dan cuaca pula sejuk. Saya mengalami demam dan tidak dapat beraksi pada tahap terbaik saya,” katanya.

Sukan Olimpik Paris akan menjadi penampilan ketiga Nur Dhabitah di temasya terbesar dunia itu selepas Rio 2016 dan Tokyo 2020.

Di Tokyo, tiga tahun lalu, dia hampir memenangi pingat gangsa sebelum terpaksa akur menamatkan saingan 3m papan anjal individu di tempat keempat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini