KUALA LUMPUR: Penerjun negara Nur Dhabitah Sabri bakal menjalani latihan selama dua minggu bermula minggu depan di London untuk menyesuaikan diri dengan papan anjal baharu digunakan pada Sukan Olimpik Paris 2024.
Di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, skuad terjun negara masih berlatih menggunakan papan anjal jenis lama.
Selain membiasakan dengan papan anjal baharu Dhabitah yang pergi bersama penerjun lelaki Bertrand Rhodict Lises, untuk menyesuaikan diri dengan perbezaan masa.
Dhabitah, 24, layak ke Olimpik Paris selepas Persekutuan Renang Malaysia (MAS) diberikan satu slot tambahan bagi acara 3 meter (m) papan anjal individu wanita oleh pihak Akuatik Dunia minggu lepas.
“Sebelum ini pernah menggunakan papan anjal baharu ini di Kejohanan Dunia di Doha, Qatar (pada Februari) dan di Australia. Namun akan ambil masa untuk menyesuaikan diri untuk memperoleh momentum pada hari pertandingan.
“Teknik papan anjal baharu ini berlainan dengan yang lama….jadi latihan di London merupakan peluang terbaik untuk kita menyesuaikan diri dan bersiap sedia hadapi Olimpik,” kata Dhabitah kepada pemberita di majlis penajaan kasut rasmi kontinjen Malaysia ke Olimpik Paris di Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Kontinjen (CDM) negara ke Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin dan Setiausaha Agung MOM, Datuk Nazifuddin Najib.
Dhabitah turut mengakui akan merindui ketiadaan ratu terjun Datuk Pandelela Rinong, yang tidak layak pada kali ini setelah berada dalam skuad sama pada edisi Rio 2016 dan Tokyo 2020.
Pada masa sama, beliau berkata ketiadaan Pandelela dan atlet senior lain pada Olimpik kali ini turut memberikan tekanan buat beliau untuk mengalas harapan utama negara di kolam terjun.
“Mengenai sasaran, saya tidak mahu fikir terlalu jauh tetapi mahu fokus untuk pusingan awal dulu untuk mara ke separuh akhir dan kemudian memberi yang terbaik dalam setiap terjunan,”katanya.
Di Rio, Nur Dhabitah beraksi dalam acara 10m platform individu yang turut disertai oleh Pandelela dan acara 3m papan anjal seirama wanita bersama Cheong Jun Hoong manakala di Tokyo beliau meraih tempat keempat bagi acara 3m papan anjal individu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa