KUALA LUMPUR: Penerjun wanita negara, Nur Dhabitah Sabri menjadi pilihan Persekutuan Renang Malaysia (MAS) untuk bersaing di pentas Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan berlangsung bulan depan.
Atlet berusia 24 tahun itu akan menggalas tugas itu selepas MAS diberikan satu slot tambahan bagi acara 3 meter (m) papan anjal individu wanita oleh pihak Akuatik Dunia.
Pengarah Teknikal Terjun MAS, Bryan Nickson Lomas menjelaskan berita mengenai satu slot tambahan itu menjadi perkembangan yang menggembirakan pihaknya dan Nur Dhabitah sendiri.
Beliau berkata, pihaknya dan juga Nur Dhabitah sudah membuat persediaan sebelum ini sementara menanti keputusan atau pengesahan daripada Akuatik Dunia berhubung slot tambahan itu.
“Kami dari MAS gembira dapat satu lagi slot tambahan ke Olimpik dan sebenarnya kami sudah buat persediaan sebelum ini sekiranya dia (Nur Dhabitah) layak.
“Dhabitah sudah tahu mengenai perkara berkenaan dan dia pun gembira sebab memang kami menunggu slot itu. Jadi dia pun memang sudah bersedia untuk ke Olimpik,” katanya kepada BH Sukan.
Sebelum ini, Nur Dhabitah dan Wendy Ng Yan Yee yang menjadi sandaran bagi acara itu terlepas peluang untuk meraih slot secara merit ke Paris 2024 apabila terkandas di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar pada Februari lalu.
Bagaimanapun, Wendy mengumumkan persaraan pada April lalu, sekali gus menutup pintunya untuk membuat penampilan di Olimpik Paris yang akan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini.
Keputusan diumumkan itu menyaksikan wakil terjun lelaki negara, Bertrand Rhodict Lises tidak akan keseorangan bagi menggalas cabaran kem terjun negara ke temasya paling berprestij di dunia itu.
Selain itu, Bryan menjelaskan pihaknya juga masih menunggu sama ada MAS akan diberikan slot tambahan dalam acara terjun bagi kategori lelaki di Paris nanti dengan Ooi Tze Liang diletakkan sebagai calon pilihan oleh persatuan itu.
“Kita kena tunggu hingga 8 Julai ini sebab Akuatik Dunia masih buat kiraan untuk acara-acara lain. Kita jangka ada peluang, tetapi tipis,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.