comscore
Tumpuan :
Sukan

Demiral wira Turkiye ke suku akhir

FOTO: Reuters

LEIPZIG, Jerman: Merih Demiral muncul wira yang tidak disangka-sangka Turkiye dengan dua gol ketika menang 2-1 ke atas Austria, sekali gus menempah tiket mereka ke suku akhir Euro 2024.

Pertahanan tengah Al-Ahli dalam Liga Pro Saudi itu merembat masuk selepas hanya 58 saat dan menghasilkan tandukan kencang selepas sejam untuk menggandakan kelebihan Turkiye.

Michael Gregoritsch pantas membalas satu gol buat Austria dan hanya tindakan penyelamat mengagumkan penjaga gol Mert Gunok menafikan Christoph Baumgartner gol penyamaan dramatik pada masa kecederaan.

Turkiye mara untuk berdepan Belanda pada suku akhir di Berlin awal pagi Ahad ini.

Austria dijangka mampu mara lebih jauh di bahagian undian lebih lemah selepas menjuarai kumpulan yang turut disertai Perancis dan Belanda.

Anak buah Ralf Rangnick turut membelasah Turkiye 6-1 pada aksi persahabatan Mac lalu, namun kali ini mereka gagal bangkit daripada permulaan mimpi ngeri.

Pemain Real Madrid, Arda Guler menjadi ancaman buat benteng Austria dan hantarannya susulan sepakan sudut mencetus keadaan huru-hara seawal minit pertama.

FOTO: Reuters

Baumgartner mengeluarkan bola dari garisan gol tetapi terkena rakan sepasukannya Stefan Posch, penjaga gol Patrick Pentz menolaknya keluar ke arah Demiral, yang merembat kencang menerjah jaring bagi gol kedua terpantas pada Kejuaraan Eropah.

Peminat Turkiye menggila meraikan gol itu tetapi mereka hampir terdiam beberapa minit kemudian.

Percubaan Baumgartner hanya tersasar beberapa inci dari penjuru kotak penalti sebelum Demiral menyekat pemain tengah RB Leipzig itu daripada menjaringkan gol di laman kelabnya sendiri ketika sepakan sudut berbahaya Austria melintasi gol.

Jurulatih Turkiye, Vincenzo Montella berkata ketiadaan kapten Hakan Calhanoglu, yang terlepas aksi kerana penggantungan, “tiada galang ganti.”

Bagaimanapun, Guler meneruskan tanggungjawab sebagai perancang tengah dan hampir meledak gol kedua pasukannya menerusi percubaan dari bulatan tengah yang tersasar sedikit.

Austria tidak mengambil pengajaran daripada sepakan sudut Guler ketika satu lagi sepakan disudahkan dengan tandukan padu Demiral selepas 59 minit.

Sehubungan itu, pemain berusia 26 tahun itu muncul pemain pertahanan Eropah pertama menyumbat dua gol pada peringkat kalah mati kejohanan utama sejak Lillian Thuram buat Perancis pada Piala Dunia 1998.

Menerusi satu lagi sepakan sudut Austria kembali bersaing tujuh minit kemudian.

Posch menampan tendangan sudut Marcel Sabitzer sebelum Gregoritsch merembat kencang bola yang menerjah jaring.

Austria hampir memaksa masa tambahan namun Gunok menafikan tandukan Baumgartner daripada melepasi garisan dengan satu tindakan penyelamat mengagumkan pada saat akhir.

Turkiye layak ke suku akhir Euro 2024 selepas menundukkan Austria 2-1 pada pusingan 16 terakhir di Stadium Leipzig, Leipzig. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini