comscore
Tumpuan :
Sukan

Deijl tak lepas syarat FIFA

KUALA LUMPUR: Hasrat pemain kelab Go Ahead Eagles, Mats Deijl untuk menyarung jersi skuad Harimau Malaya dan mewakili Malaysia tidak kesampaian apabila Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan permohonan tonggak pertahanan itu untuk didaftarkan sebagai pemain warisan di negara ini tidak berjaya.

Menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini, dokumen dilampirkan pemain yang beraksi di Liga Belanda itu hanya mempunyai darah keturunan Malaysia melalui moyangnya.

Sebaliknya, FIFA menetapkan syarat permohonan itu perlulah melalui datuk atau nenek dan bukannya moyang.

“Terdahulu, pemain ini menunjukkan minatnya untuk mewakili pasukan kebangsaan Malaysia dan FAM sudah dimaklumkan pemain ini mempunyai darah keturunan Malaysia.

“Justeru FAM sejak 27 Jun 2024 sudah dapat menghubungi secara rasmi kelab, ejen dan pemain itu sendiri bagi membincangkan mengenai kelayakannya untuk bermain dengan pasukan kebangsaan Malaysia.

“Hasil perbincangan, pemain ini memberikan dokumen berkaitan susur galur keluarganya yang menunjukkan mempunyai hubung kait dengan negara Malaysia termasuk sijil lahir beliau, ayahnya, datuknya (sebelah ayah) serta pengesahan kelahiran moyangnya (sebelah ayah) iaitu ibu kepada datuk pemain itu.

“Berdasarkan semakan, pemain ini mempunyai darah keturunan Malaysia melalui moyang (ibu kepada datuk pemain) yang lahir di Singapura pada 24 Jun 1893, apabila Singapura sebahagian dari Tanah Melayu ketika itu.

“Dengan merujuk kepada Artikel 8 Peraturan-Peraturan Yang Mengawal Permohonan Statut FIFA berkaitan kelayakan mewakili pasukan kebangsaan, (Regulations Governing The Application Of The Statutes), mana-mana pemain boleh mewakili sesebuah negara jika pemain itu memenuhi syarat seperti berikut.

“Pertama, pemain itu lahir di negara itu; atau kedua, ibu pemain dan ayah pemain lahir di negara itu; atau ketiga, datuk dan nenek pemain lahir di negara itu; atau keempat, pemain itu menetap di negara itu melebihi tempoh lima tahun,” kata kenyataan itu.

Bagi mendapatkan pengesahan secara rasmi berkenaan kelayakan pemain ini, FAM pada 23 September 2024 sudah menghantar surat kepada FIFA bagi mendapatkan pandangan FIFA mengenai status pemain itu yang ingin mewakili Malaysia melalui darah keturunan moyangnya.

“FIFA melalui surat bertarikh 25 September 2024 menghantar maklum balas mengenai perkara ini dan memaklumkan bahawa: “Unfortunately, the player’s ascendants’ nationalities beyond his grandparents (i.e., the player’s great grandparents or ulterior ascendants) do not grant the Player the possibility to be eligible to represent your association’s representative team(s), as the list set forth in art. 8 par. 1 lit. c) of the RGAS is exhaustive.”

“Berdasarkan jawapan FIFA itu, FAM mengesahkan pemain itu tidak dapat mewakili pasukan kebangsaan Malaysia disebabkan darah keturunan Malaysia adalah daripada moyangnya dan bukan di peringkat datuk atau nenek pemain seperti syarat ditetapkan FIFA,” katanya.

Bagaimanapun, FAM tetap berterima kasih kepada pemain itu atas minat dan kesungguhan ditunjukkannya untuk mewakili pasukan kebangsaan Malaysia, namun ia tidak dapat direalisasikan.

Untuk makluman, FAM sudah berhubung dengan beberapa pemain lain seperti dicadangkan atau dihebahkan di platform media sosial, namun setakat ini tiada yang positif terutama dari segi dokumen kesahihan pemain berkenaan memiliki darah keturunan Malaysia yang melepasi syarat ditetapkan FIFA.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini