Tumpuan :
Sukan

David Coote digantung UEFA sehingga 2026

David Coote. – FOTO: Reuters

LONDON: Pengadil kontroversi, David Coote dihalang daripada bertugas oleh Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) sehingga 2026.

Coote, 42, sudahpun dipecat oleh badan pengadil bola sepak Inggeris, PGMOL pada Disember lalu selepas ‘siasatan menyeluruh’ dijalankan atas tindakannya.

Kini giliran UEFA mengenakan hukuman ke atas Coote yang berkuatkuasa serta-merta sehingga 30 Jun 2026.

UEFA mendedahkan Coote tidak dibenarkan untuk bertugas kerana ‘menjatuhkan imej bola sepak dan UEFA selain ‘menyalahgunakan undang-undang asas dalam berkelakuan sopan’.

Badan bola sepak Eropah itu melakukan siasatan ke atas Coote susulan video eksklusif The Sun yang menunjukkan Coote sedang menyedut serbuk putih ketika bertugas pada Kejuaraan Eropah 2024.

Hukuman Coote itu menyaksikan dia tidak boleh mengadili perlawanan di Liga Negara-Negara, Liga Juara-Juara, Liga Europa serta Liga Konferens UEFA.

Di sebalik pemecatannya, UEFA juga memiliki bidang kuasa ke atas Liga Inggeris sekali gus bermakna dia tidak boleh mengendalikan perlawanan di Liga Perdana Inggeris (EPL) juga.

Coote sebelum ini digantung oleh PGMOL susulan videonya yang mengeluarkan kata-kata kesat terhadap bekas pengurus Liverpool, Jurgen Klopp.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini