![](https://media.buletintv3.my/2023/08/dato-yunus-alif-1024x538.jpg)
KUALA LUMPUR: PDRM FC hari ini mengumumkan pengendali baharu pasukan itu apabila melantik Datuk Yunus Alif sebagai jurulatih.
Bekas pemain kebangsaan pada era 70-an hingga 90-an itu kembali ke pentas bola sepak utama tanah air setelah sekian lama apabila meninggalkan Perlis yang bermain di Liga Perdana pada 2013.
PDRM FC diawal musim dilatih oleh Azzmi Ab Aziz, namun beliau kemudian direhatkan secara mengejut bermula 19 Jun dan tugas tersebut dipangku penolongnya Eddy Gapil.
The Cops kini menghuni tangga kelapan Liga Super menerusi 24 mata selepas 18 perlawanan yang menyaksikan mereka merakam tujuh kemenangan, tiga seri dan lapan kekalahan.
Pasukan itu juga baharu mengalami kekalahan 1-4 di tangan Selangor FC dalam perlawanan pertama Pusingan 16 Piala Malaysia di tempat sendiri Khamis lalu.
Datuk Yunus memilik pencapaian menarik antaranya menjuarai Liga Malaysia tahun 1995, dan naib juara Piala FA pada tahun sama dengan Pahang.
Di Terengganu pula, beliau yang merupakan adik kepada pemain negara Abdah Alif dan Najib Alif memenangi Piala FA pada tahun 2000 dan naib juara Piala FA tahun 1999.