Tumpuan :
Sukan

Datuk Misbun tunggu surat rasmi sebelum pertimbang kembali ke BAM

Foto: Ihsan/ Nor Kamal Ahmad

Oleh: Fariz Zolkarnain

KUALA LUMPUR: Legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek sedia mempertimbangkan tawaran daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk kembali menjawat jawatan Pengarah Pembangunan Perseorangan Remaja sehingga tamat kontrak asal, hujung tahun ini.

Bagaimanapun menurut pengurusnya, Nor Kamal Ahmad, Datuk Misbun mahu menunggu terlebih dahulu surat tawaran rasmi daripada badan induk badminton negara itu.

“Tan Sri (Norza Zakaria) minta maaf, Datuk (Misbun) lega. Datuk terima permohonan maaf Tan Sri.

“Dalam masa terdekat, Tan Sri Norza akan jumpa Datuk Misbun. Setakat ini tak terima apa2 surat.

“Datuk hanya dengar sidang media. Datuk akan tengok apa yang ditawarkan.

“Sambung balik ke atau macam mana, ini terpulang kepada Datuk,” kata Nor Kamal ketika dihubungi pemberita selepas usaha ke kediaman Datuk Misbun tidak berhasil, hari ini.

Tambah Nor Kamal, BAM seharusnya memberi surat tawaran itu kerana Datuk Misbun sudah menerima surat berhenti.

“Kata ikut undang-undang. Maksudnya tunggu surat tawaran dahulu, baru Datuk akan pertimbangkan.

“Datuk akan perincikan nak atau tidak. Takkan surat tawaran itu kosong sahaja,” jelasnya.

Isu perselisihan di antara BAM dan Datuk Misbun bermula apabila badan induk itu menamatkan kontrak jurulatih berusia 63 tahun berkenaan lebih awal daripada kontrak asal, Disember depan.

Dengan BAM memaklumkan keputusan itu adalah persetujuan bersama, Datuk Misbun kemudiannya tampil membuat kenyataan bahawa perpisahannya bukanlah atas persetujuan bersama.

Sebaliknya, bekas Pengarah Pembangunan Remaja negara itu berkata, keputusan berhubung perkara berkenaan sudah dirancang tanpa sebarang perbincangan dengan dirinya atau dipanggil untuk membela diri.

Malah, Datuk Misbun berkata dia adalah mangsa atas kegagalan keseluruhan skuad remaja negara di Kejohanan Remaja Asia di Yogyakarta, Indonesia, dua minggu lalu ketika beliau hanya bertanggungjawab ke atas pemain perseorangan.

Sekiranya Datuk Misbun menerima semula tawaran BAM, legenda badminton negara itu akan kembali mengemudi skuad remaja pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Amerika Syarikat (AS) bulan depan.

Loading...
Terkini