Tumpuan :
Sukan

Datuk Misbun, BAM berpisah

Datuk Misbun Sidek

Oleh : Al Shaiful Nazib Talib

BUKIT KIARA : Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan persetujuan bersama antara badan induk badminton negara itu dengan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja Negara, Datuk Misbun Sidek untuk berpisah selepas enam tahun bersama.

Keputusan dibuat selepas menilai prestasi kurang memberangsangkan skuad remaja kebangsaan dalam beberapa siri kejohanan yang disertai.

Menurut Timbalan Presiden BAM, Datuk V. Subramaniam, keputusan dibuat selepas satu mesyuarat yang berlangsung lebih enam jam dua hari lalu dan Datuk Misbun juga menerima keputusan yang dibuat dengan hati terbuka.

Pada Kejohanan Remaja Asia yang berlangsung di Yogyakarta baru-baru ini, skuad remaja negara beraksi agak hambar, kandas di peringkat suku akhir dengan kekalahan 0-3 kepada Thailand dalam acara berpasukan.

Dan kekecewaan terus dialami Malaysia apabila tiada wakil yang berjaya untuk menempatkan diri ke peringkat akhir dalam acara perseorangan.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat adalah pada 2018 menerusi gandingan Pearly Tan dan Toh Ee Wei dalam acara beregu wanita yang muncul sebagai naib juara.

Bagi persiapan skuad remaja menjelang Kejohanan Remaja Dunia di Washington, Amerika Syarikat, pemain-pemain akan menyertai latihan skuad senior untuk membuat persiapan.

Walaupun tanpa Ketua Jurulatih, pemain-pemain yang akan mengambil bahagian tetap akan diberikan sasaran yang akan di tetapkan kemudian.

Kejohanan Remaja Dunia dijadualkan berlangsung bermula 25 September hingga 8 Oktober.

Loading...
Terkini