Tumpuan :
Sukan

Datuk Azizulhasni Awang tarik diri daripada Sukan Asia Hangzhou

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Datuk Azizulhasni Awang mengumumkan penarikan dirinya daripada menyertai Sukan Asia Hangzhou yang dijadual bermula Sabtu ini.

Pelumba berusia 35 tahun itu mengumumkan keputusan berkenaan pada satu sidang media khas di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil di sini, sebentar tadi.

Azizulhasni yang diberi julukan The Pocket Rocketman, berkata keputusan dibuat selepas dia mengalami kecederaan di bahagian kaki dan pinggul kiri susulan kemalangan yang dialaminya ketika sesi latihan di Velodrom Nasional Nilai, Jumaat lalu.

“Dukacita dimaklumkan saya mengambil keputusan untuk menarik diri daripada Sukan Asia. Saya mohon maaf kepada kontinjen negara dan seluruh rakyat Malaysia yang berharap saya beraksi di sana Hangzhou.

FOTO: NSTP

“Pada mulanya kecederaan saya tidak serius termasuklah selepas menjalani ujian imbasan dengan Institut Sukan Negara (ISN) tetapi selepas empat hari saya berasa sakit di bahagian badan.”

Jadi, selepas perbincangan dengan ketua jurulatih John Beasley kami memutuskan untuk menarik diri daripada Sukan Asia kali ini bagi memberi fokus kepada Sukan Olimpik Paris tahun depan,” kata Azizulhasni.

Jumaat lalu, Azizulhasni mengejutkan peminat sukan tempatan apabila berkongsi rakaman video kemalangan dialaminya ketika sesi latihan di Velodrom Nasional Nilai.Rakaman video itu menunjukkan dia terjatuh ketika sedang memecut bagi mengejar motosikal dihadapannya selepas basikalnya mengalami kegagalan mekanikal.

Di Hangzhou, Azizulhasni yang diletakkan sebagai sandaran Malaysia bagi memenangi pingat emas sepatutnya akan menyertai dua acara iaitu pecut individu dan keirin.

Pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, Azizulhasni berjaya membawa pulang satu pingat emas menerusi acara pecut selain turut meraih pingat perak (pecut berpasukan) dan gangsa untuk acara keirin.

Loading...
Terkini