comscore
Tumpuan :
Sukan

Daren James ‘cemas’ telefon bimbit, dompet hilang malam raya Deepavali

Pelari jarak jauh negara, Daren James Nair.

Oleh: Hazreen Mubarak

KUALA LUMPUR: Malam raya Deepavali tahun ini pastinya diingati sepanjang hayat buat pelari jarak jauh negara, Daren James Nair.

Manakan tidak, telefon bimbit dan dompet yang diletakkan sementara di dalam bonet kenderaanya hilang di Semenyih, Selangor dipercayai dicuri sekali gus membuatkan harinya penuh kekalutan dalam usaha menjejak serta membuat laporan polis susulan insiden berkenaan, semalam.

Insiden yang berlaku di rumah rakannya itu berlaku tanpa sedar ketika Daren baru sahaja selesai membeli-belah barangan untuk sambutan Deepavali.

Mengakui salah atas kelekaan sendiri, Daren menyifatkan ia sebagai hari yang akan diingatinya sepanjang hayat.

“Hari ini tidak boleh dilepaskan sebab ianya datang sekali dalam setahun. Jadi Deepavali kami ini menjadi kenangan yang sukar dilupakan kerana saya hilang telefon bimbit dan dompet.

“Walau bagaimanapun hari ini ialah hari kebesaran kami kaum India untuk menyambut Deepavali. Dikesempatan ini saya ucapkan Selamat Hari Deepavali kepada semua yang mengenali saya,” katanya.

Mengulas mengenai hala tujunya dalam sukan olahraga, atlet kelahiran Ipoh, Perak berusia 22 tahun itu menyasarkan slot untuk beraksi di temasya Sukan SEA Thailand tahun hadapan.

Dia yang beraksi dalam dua acara jarak jauh iaitu 5,000 meter (m) dan 3,000m lari berhalangan menyasarkan untuk membuat penampilan kedua selepas kali pertama di Kemboja tahun lalu.

Pada edisi di Kemboja itu, anak sulung daripada 3 beradik ini menamatkan saingan di tempat ke-14 dalam acara 5,000m manakala posisi ketujuh bagi kategori 3,000m lari berhalangan yang turut memperbaharui rekod peribadi 9 minit 24.21 saat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini