Tumpuan :
Sukan

Dania muncul juara remaja dunia ping pong B-13

Dania (dua dari kanan) bersama trofi yang dimenanginya selepas menjuarai WTT B-13.

KUALA LUMPUR: Pemain ping pong cilik negara, Dania Elisha Mohd Airul memenangi gelaran pertamanya tahun ini selepas muncul juara pada Kejohanan Remaja Ping Pong Dunia (WTT) Bawah 13 Tahun (B-13) di Tunisia, semalam.

Dania, 12, yang menghuni ranking ketujuh dunia B-13 dalam kategori perseorangan wanita menewaskan pemain Taiwan, Li Jen Yueh 3-1 pada perlawanan akhir di Pusat Sukan El Menzah.

Tewas pada set pertama 13-15 kepada pemain ranking dua dunia itu, ia tidak mematahkan semangat Dania untuk bangkit memenangi tiga set berikutnya 11-4, 12-10 dan 11-5 dalam tempoh 27 minit.

Bapa Dania, Mohd Airul Hafis Zulkifli berkata, kejayaan yang dilakar di Tunisia menjadi pemangkin semangat buat anaknya dalam misi untuk memburu kedudukan kelompok tiga terbaik dunia tahun ini.

“Kami menyasarkan memenangi lebih banyak kejohanan dan selepas ini, Dania akan beraksi di Qatar, Singapura dan Filipina.

“Dania juga sudah pun dipanggil menjalani latihan di Majlis Sukan Negara dan akan ke Sekolah Sukan Bukit Jalil tahun ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini