KUALA LUMPUR: Pelumba Moto3 negara, Syarifuddin Azman terlepas dua aksi perlumbaan di Grand Prix (GP) Itali dan Grand Prix (GP) Jerman berikutan mengalami keretakan di bahagian tulang rusuk kiri.
Syarifuddin atau lebih dikenali sebagai Damok terbabas dan dilihat melambung ke udara ketika sesi latihan kedua di Litar Mugello, malam tadi.
“Pengalaman pertama kali di litar Mugello ini, saya menamatkan sesi FP1 di P26 dan FP2 di P27.
“Saya terjatuh di minit terakhir sewaktu sesi FP2 dan saya telah dibawa ke hospital dan disahkan tidak cergas untuk berlumba akibat keretakan pada tulang rusuk kiri.
“Saya berterima kasih kepada semua yang mendoakan dan saya ingin cepat sembuh untuk kembali berlumba,” jelas Damok selepas mendapat rawatan di Hospital Borgo San Lorenzo.
Pada pusingan sebelum ini di GP Perancis, Damok tidak dapat menamatkan perlumbaan susulan kemalangan ketika sedang memburu kedudukan dalam kelompok 10 terbaik di Litar Le Mans.
Damok ketika ini sudah mengumpul lima mata untuk berada di kedudukan ke-22 daripada 29 pelumba, hasil penamat di tempat ke-11 di GP Argentina awal April lalu.