comscore
Tumpuan :
Sukan

Damok raih lima mata berharga di Argentina

Oleh Syakirah Zulkifly

Lima mata yang sangat berharga untuk pelumba Moto3 negara, Syarifuddin Azman yang tidak perlu menunggu lama bagi membuktikan penyertaannya di Kejuaraan Motosikal Dunia bukan keputusah salah.

Syarifuddin yang mesra disapa Damok berpuas hati dengan keputusan diraih di pusingan kedua Grand Prix Argentina malam tadi.

Pelumba muda berusia 21 tahun itu menamatkan perlumbaan di Litar Termas de Rio Hondo di kedudukan ke-11 dengan catatan masa 35 minit 32.132 saat.

Pelumba Jepun, Tatsuki Suzuki menjuarai perlumbaan dengan catatan terpantas 35:18.099s, manakala tempat kedua menjadi milik rakan sepasukan Damok dari Brazil, Diogo Moreira yang mencatat 35:22.670 saat dan Andrea Migno dari Itali ketiga (35:22.798s).

Sebelum ini, Damok bergelut dalam perlumbaan pembukaan musim 2023 di Portugal, hujung minggu lalu, yang menyaksikan dia menamatkan saingan hanya di tempat ke-22, anak jati Selangor itu enggan menunggu lama untuk bangkit bagi membalas kepercayaan yang diberikan pasukannya.

Bernaung di bawah pasukan MTHelmets_MSi, Damok melahirkan rasa syukurnya berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-11, meskipun keadaan latar menjadi cabaran untuknya.

“Dengan keadaan litar yang agak basah, saya akui agak sukar kerana trek sangat licin dan beberapa pelumba di hadapan saya terjatuh membuatkan perlumbaan bertambah sukar.

“Saya amat gembira kerana dapat menghabiskan perlumbaan, sekali gus meraih tempat ke-11,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh ZK Racing.

Kali pertama berlumba di Litar Termas de Rio Hondo, Damok berterima kasih kepada krew pasukannya yang bekerja keras membantu menyiapkan jenteranya.

“Saya ingin berterima kasih kepada pasukan saya yang bertungkus lumus dalam perlumbaan kali ini dan tak lupa buat semua penaja saya. Jumpa anda di Austin nanti,” ujarnya.

Kejayaan Damok mengutip lima mata menyaksikan anak muda tersebut kini menghuni kedudukan ke-17 keseluruhan dalam senarai pelumba Moto3 dengan Daniel Holgado dari Sepanyol di tangga teratas (38 mata) dan tangga kedua serta ketiga menjadi milik Moreira (36 mata), dan Suzuki (27 mata).

Loading...
Terkini