Tumpuan :
Sukan

[VIDEO] Olimpik Paris: Corak belang Harimau dipilih motif baharu pakaian kontinjen negara ke Paris 2024


KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akhirnya tampil memilih corak belang Harimau yang lebih garang dipaparkan pada pakaian rasmi untuk dipakai Kontinjen Malaysia ke Paris 2024.

Menurut Presiden MOM, Tan Sri Norza Zakaria, beliau percaya corak baharu yang dipilih itu dilihat lebih segar dan boleh menaikkan semangat juang kontinjen negara di temasya terbesar dunia itu nanti.

Tambahnya, MOM juga mengambil maklum balas orang ramai apabila menukar logo dengan kibaran Jalur Gemilang kembali dilakar mengikut warna-warna Jalur Gemilang diiringi lima gegelung Olimpik, berbanding logo MOM berwarna emas yang dipaparkan pada corak terdahulu.

“Reka corak baharu yang dipilih adalah berlatarbelakangkan warna hitam, dengan belang Harimau berwarna kuning yang lebih jelas dan besar di sebelah hadapan dan di belakang jaket.

“MOM berasakan bahawa reka corak baharu ini melambangkan semangat Harimau yang sudah menjadi identiti Kontinjen Malaysia sejak kali pertama ia diperkenalkan pada Temasya Sukan Asia Tenggara atau Sukan SEA di Manila pada 2005.

“Adalah menjadi harapan MOM mewakili pemegang taruh termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) agar semangat Harimau menjadi inspirasi untuk atlet negara mengaum di kota Paris nanti,” katanya menerusi kenyataan rasmi MOM hari ini.

Selain itu, MOM turut memaklumkan kemeja T berkolar berwarna emas akan mengekalkan corak dan motif yang sama tetapi menukar logo MOM yang berlambangkan warna-warna Jalur Gemilang sebagai tanda menghormati bendera negara.

Tambah Norza lagi, memandangkan tinggal kurang dari sebulan sebelum temasya itu membuka tirai, MOM dapat capai kata sepakat dengan pihak penaja Yonex Sunrise Malaysia agar logo Yonex atau YY tidak dipaparkan di kedua-dua jaket dan kemeja T.

“Ini adalah kerana proses untuk Yonex Sunrise Malaysia mencetak dan menyediakan pakaian rasmi ini memerlukan proses perjanjian dengan pengilang sebagai prosedur operasi standard (SOP) jenama itu.

“Maka itu Yonex Sunrise Malaysia memberi keizinan khas kepada MOM untuk mencetak dan mengeluarkan jaket ini dengan fabrik pengilang berbeza sebagai pakaian rasmi Kontinjen Malaysia ke Paris 2024 disebabkan faktor masa,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan selepas menerima kritikan hebat, MOM memutuskan untuk menambah baik pakaian rasmi Kontinjen Malaysia yang akan dipakai pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini