comscore
Tumpuan :
Sukan

COPA AMERICA: Tiga Martinez perkasa Argentina

Emiliano Martinez(kiri), Lautaro Martinez dan Lisandro Martinez.- Foto: Reuters

MIAMI: Buat seketika penyokong Argentina bagaikan terlupa ketiadaan kapten kesayangan mereka Lionel Messi pada aksi terakhir Kumpulan A Copa America 2024 semalam yang menyaksikan mereka mengalahkan Peru 2-0.

Apa yang pasti penyokong tetap terhibur dengan aksi ‘dua Martinez’, iaitu penjaga gol  Emiliano Martinez dan penggempur Inter Milan, Lautaro Martinez.

Pada aksi pelengkap jadual itu, jurulatih Argentina Lionel Scaloni merehatkan Messi ketika juara Piala Dunia 2022 itu awal lagi sudah menempah tiket ke suku akhir.

Argentina menamatkan kempen kumpulan selaku juara Kumpulan A mengumpul mata maksima mengalahkan Kanada 2-0, Chile (1-0) dan Peru (2-0).

Lebih menarik Lautaro Martinez ketika ini mengetuai senarai penjaring terbanyak dengan empat gol di mana dia menjaringkan gol  setiap tiga perlawanan kumpulan, dalam kata lain empat daripada lima gol Argentina setakat ini adalah sumbangan Lautaro.

Manakala Emiliano kebal di gawang menyaksikan Argentina mara ke suku akhir tanpa bolos.

Reputasi hebat penjaga gol Aston Villa itu memang diakui apatah lagi selepas dipilih penjaga gol terbaik Piala Dunia Qatar 2022.

Apapun satu lagi kelibat Martinez, Lisandro Martinez tidak boleh dilupakan, juga adalah watak penting pasukan Argentina.

Pertahanan ‘keras’ Manchester United itu memang menyukarkan pihak lawan menceroboh garisan terakhir gergasi Amerika Selatan itu.

Pada aksi suku akhir Jumaat ini, Argentina meneruskan misi mempertahankan kejuaraan apabila dijadual menentang naib juara Kumpulan B, Ecuador.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini