comscore
Tumpuan :
Sukan

COPA AMERIKA: Argentina waspada kejutan Ecuador

Emiliano Martinez, penjaga gol yang masih ‘kebal’ selepas tiga perlawanan, antara watak penting Argentina dalam misi pertahankan kejuaraan. – FOTO: Reuters

HOUSTON: Meskipun diletakkan pasukan pilihan dan dijangka tidak berdepan masalah besar berdepan Ecuador pada suku akhir Copa Amerika esok, Argentina tidak sesekali leka dengan kenyataan itu.

Sebaliknya Argentina tetap waspada dengan kejutan Ecuador yang mampu meranapkan impian mereka mempertahankan kejuaraan.

Penolong jurulatih Argentina, Walter Samuel masih menjangkakan pertarungan yang sukar terutama dengan corak permainan Ecuador.

“Mereka adalah saingan yang berbeza.Kami berdepan Ecuador dalam perlawanan persahabatan terakhir. Kami mengenali mereka dan (mereka) mempunyai jurulatih yang berkebolehan.

“Bahagian fizikal adalah masalah besar, tetapi mereka juga mempunyai kualiti teknikal yang hebat. Mereka bermain kejohanan ini dengan baik, dan ia akan menjadi sukar,” kata Samuel dalam sidang media pra perlawanan di Houston.

Apapun penampilan semula ketua pasukan Lionel Messi yang direhatkan ketika rakan-rakannya menewaskan Peru pada aksi terakhir Kumpulan A pastinya berita buruk buat Ecuador.

Argentina mara ke suku akhir selaku juara Kumpulan A, satu-satunya pasukan yang belum mampu dibolosi lawan sementara penyerangnya Lautaro Martinez ketika ini menerajui senarai penjaring terbanyak dengan empat gol.

Pada saingan kumpulan Argentina menang kesemua perlawanan menundukkan Kanada 2-0, Chile (1-0) dan Peru (2-0)

Pembuka tirai suku akhir Copa Amerika pertemuan Argentina – Ecuador esok dijadual berlangsung di Stadium NRG, Houston yang berkapasiti tempat duduk 72,220 penonton.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini