LAS VEGAS: Uruguay mengatasi Brazil 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti sebentar tadi selepas beraksi 10 pemain ketika seri 0-0 sekali gus layak ke separuh akhir Copa America 2024 bertemu Colombia.
Sergio Rochet menyelamatkan sepakan penalti pertama Brazil menerusi Eder Militao manakala tendangan rakan sepasukannya Douglas Luiz terkena palang untuk memberikan Uruguay kelebihan.
Sekalipun penjaga gol Alisson Becker menafikan Jose Maria Gimenez dan Gabriel Martinelli menyumbat gol untuk menghidupkan peluang Brazil, Manuel Ugarte meledak masuk penalti penentuan untuk menyaksikan kemaraan Uruguay.
Dengan Vinicius Junior digantung perlawanan buat Brazil dan menyaksikan perlawanan dari bangku penonton, pasukan kendalian Dorival Jr bergelut untuk mencipta peluang sekalipun mempunyai kelebihan seorang pemain pada lewat babak kedua apabila pemain Uruguay, Nahitan Nandez dibuang padang.
Dalam perlawanan tegang yang menyaksikan 41 kekasaran daripada kedua-dua pasukan, pemain kedua-dua pasukan terbabit dalam pertarungan fizikal di segenap penjuru padang.
Penyerang Brazil berusia 17 tahun, Endrick menjadi mangsa terjahan keras ketika Uruguay enggan memberikannya ruang untuk bergerak.
Pada satu ketika, Raphinha berang apabila Endrick dijatuhkan oleh Ronald Araujo ketika kapten Brazil itu bertindak balas dalam kemarahan dengan menolak ke belakang sebelum pengadil mencelah dan memberi amaran keras terhadap kedua-dua pemain, sekalipun menyimpan kad di dalam poketnya.
Namun aksi Araujo berakhir lebih awal apabila dia dikeluarkan kerana kecederaan selepas setengah jam dan perlawanan itu semakin mendebarkan beberapa ketika kemudian apabila Darwin Nunez terlepas peluang dari jarak dekat.
Dalam beberapa saat, Raphinha pula menyaksikan percubaannya susulan serangan balas pantas diselamatkan Rochet, peluang terbaik Brazil pada babak itu.
Dengan Uruguay gagal memecah kebuntuan, jurulatih Marcelo Bielsa melakukan tiga pertukaran pada minit ke-67 tetapi perancangannya terjejas apabila Nandez dilayangkan kad merah susulan semakan VAR berikutan terjahannya ke atas Rodrygo.
Bagaimanapun Brazil tidak mampu meledak jaringan berdepan 10 pemain Uruguay yang turun ke bawah, memilih untuk mencuba nasib mereka menerusi penentuan sepakan penalti dengan tiada masa tambahan pada Copa America kecuali final. – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa