HOUSTON: Argentina menewaskan Ecuador 4-2 menerusi sepakan penalti untuk mara ke separuh akhir Copa America.
Penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez sekali lagi menjadi wira pasukannya selepas menyelamatkan dua sepakan penalti awal Ecuador.
Selepas permainan sebenar terikat 1-1, perlawanan ditentukan menerusi sepakan penalti, tanpa masa tambahan, dan Lionel Messi tampil mengambil sepakan pertama Argentina.
Namun sepakan ala Panenka dilakukan Messi terlalu tinggi dan terkena palang. Bagaimanapun Martinez menebus kesilapan kaptennya itu dengan menyelamatkan dua sepakan penalti seterusnya.
Sebelum itu Argentina mendahului permainan pada minit ke-35 menerusi Lisandro Martinez, namun Ecuador mengheret perlawanan ke penentuan penalti dengan jaringan penyamaan Kevin Rodriguez dalam masa kecederaan.
Argentina akan bertemu pemenang perlawanan antara Venezuela dan Kanada di separuh akhir. – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa